Adam Adli, Kamil Munim umum tanding jawatan Ketua, Timbalan Ketua AMK Malaysia



Persaingan dalam barisan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia semakin padu dengan ikon anak muda Adam Adli Abd Halim dan regunya, Muhammad Kamil Abdul Munim mengumumkan bertanding jawatan Ketua dan Timbalan Ketua AMK.


Adam dan Kamil dalam kenyataan bersama mereka petang ini menyifatkan AMK sebagai unit barisan hadapan KEADILAN dalam perjuangan menentang rejim korup BN dan PN.


Oleh yang demikian, kata mereka, AMK memerlukan kepimpinan kukuh, berani, progresif dan segar sebagai pemuka parti dan tunjang utama perjuangan reformasi menuju 'pertempuran' Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang dijangka amat sengit.


"Untuk mencapai tujuan itu, bakat-bakat muda, lama dan baharu yang mempunyai bukan sahaja cita-cita, sebaliknya kesedaran yang tinggi harus diangkat untuk menggalas tanggungjawab memimpin barisan hadapan parti iaitu Angkatan Muda Keadilan. Inilah cabaran yang harus kita sahut.


"Maka, dengan rasa penuh tawaduk dan rendah diri, kami, Adam Adli Abd Halim dan Muhammad Kamil Abdul Munim dengan bernaung di bawah gabungan yang dinamakan sebagai Seangkatan, mengesahkan hasrat kami untuk menawarkan diri sebagai calon bagi mengisi tanggungjawab besar jawatan Ketua AMK dan Timbalan Ketua AMK bagi penggal 2022 – 2025.


"Pasukan penuh kami terdiri daripada tiga orang calon Naib Ketua AMK, dan 20 orang calon Exco AMK, serta Lima Teras Seangkatan yang bakal dijadikan prinsip dan panduan dalam menggerakkan kempen kali ini, akan diumumkan dalam sebuah kenyataan bersama dan majlis berasingan tidak lama lagi," kata mereka.


Sebelum itu, Adam dan Kamil mengingatkan anggota bahawa pengkhianatan Langkah Sheraton pada 2020 yang diawali kelompok kelompok yang terlalu ghairah merebut kekuasaan dalam pemilihan 2018 tidak seharusnya terjadi lagi.


Oleh itu, kata mereka, perjuangan haruslah digerakkan dengan sikap menjunjung agenda reformasi dan mengutamakan rakyat dalam segala hal.


"Kemenangan bukanlah sebuah habuan, sebaliknya amanah dan tanggungjawab yang berat. Kemenangan perlu diisi, bukan semata dinikmati. Mungkin kita biasa diuji dengan kesukaran, namun belum tentu kita kuat apabila diuji dengan kesenangan.


"Episod pengkhianatan dan pembelotan mengakhiri masa kita di Putrajaya (2018 - 2020). Perjuangan untuk mengangkat reformasi dalam urus tadbir institusi negara tergendala, lalu meninggalkan luka besar buat terutama kita di KEADILAN. Kita terus diasak dengan pelbagai rintangan baik dalam perjalanan politik pilihan raya mahupun dalaman.


"Pengajaran terbesar yang dikutip adalah perjuangan ini menuntut untuk kita kembali menyusun kekuatan sebagai sebuah pasukan. Berpecah buat kita kalah, berpadu buat kita menang," kata mereka.


Justeru, pasukan Seangkatan berharap Pemilihan KEADILAN 2022 akan berjalan dengan suasana yang lebih harmoni, bersatu padu dan dalam semangat kekeluargaan bagi mengembalikan kegemilangan parti.


"Atas semangat kebersamaan dan kekeluargaan, kami berharap Pemilihan KEADILAN 2022 kali ini dapat berlangsung dengan penuh harmoni dan ukhwah, sesuai matlamat besar untuk mengukuhkan semula parti dan perjuangan kita bersama.


"Dari Utara ke Selatan, Timur ke Barat; bersama-sama kita nyalakan kembali kekuatan KEADILAN. Tanggungjawab besar mengangkat agenda reformasi dan suara rakyat dalam PRU akan datang tidak terletak pada orang lain, melainkan kita sendiri.


"Apa sekali pun yang kita usahakan, apa pun cabaran yang perlu kita tempuhi, kalau pun berselisih dalam memilih, kita semua adalah Seangkatan – Angkatan Muda KEADILAN," kata mereka lagi.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER