
Kontroversi mengenai siapakah pengerusi sebenar Majlis Keselamatan Negara (MNK) negeri Selangor, sama ada Menteri Besar (MB) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari atau Menteri Persekutuan, Tan Sri Noh Omar tidak diselesaikan secara tuntas oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Timbul pertanyaan dari supremo DAP, Lim Kit Siang adakah PM sendiri tidak pasti atau tidak tahu siapakah Pengerusi MKN negeri.
"Adakah Perdana Menteri Ismail Sabri sendiri tidak tahu siapa Pengerusi Majlis Keselamatan Negara Selangor?
"Semalam, saya meminta PM memaklumkan kepada umum siapa sebenarnya Pengerusi MKN Selangor kerana kekeliruan seumpama itu tidak sepatutnya timbul di tengah-tengah bencana banjir paling dahsyat yang berlaku dan telah meragut 37 nyawa setakat ini.
"PM senyap seribu bahasa sejak semalam. Mungkinkah PM sendiri tidak tahu siapa Pengerusi MKN Selangor dan begitu lembab untuk memperbetulkan isu tersebut?" tanyanya.
Kit Siang yang ternyata kecewa dengan kelemahan PM itu mempersoalkan mengapakah beliau memberi 90% markah kepada kabinetnya tempoh hari.
Kabinet yang cemerlang, katanya, tidak mungkin menghadapi masalah untuk mengenalpasti pengerusi jawatankuasa di bawahnya.
"Tiada siapa yang dapat memahami bagaimana Ismail boleh memberikan markah 90% kepada Kabinetnya untuk prestasi dalam seratus hari pertama, sedangkang pengurusan isu banjir di Selangor dan Pahang begitu hura-hara ditambah dengan kehilangan nyawa yang tidak pernah berlaku sebelum ini, selain kerugian harta benda yang tak ternilai banyaknya.
"Ini sekaligus membuktikan Perdana Menteri memberikan markah yang salah kepada Kabinetnya. Adakah Malaysia telah terjerumus ke lembah kakistokrasi selepas dilanda kleptokrasi?
"Bilakah Ismail boleh memberitahu kita semua siapa sebenarnya Pengerusi MKN Selangor?" tanyanya lagi.
Kekeliruan siapakah Pengerusi MKN Selangor berlarutan sejak 3 hari lalu apabila MB mendakwa jawatan itu telah dikembalikan kepadanya dan beliau telah mengadakan mesyuarat MKN Selangor di bawah arahan nombor 20.
Namun Noh Omar kekal mengaku beliau adalah Pengerusi MKN. Katanya, terdapat dua jawatankuasa dalam MKN dan MB hanya di bawah jawatankuasa bencana negeri sahaja.
Comments