top of page

Adakah perintah mandamus perlu dilaksanakan MB NS jika diputus mahkamah?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 3 min read

Pemimpin Umno-BN Negeri Sembilan perlu menjelaskan sama ada perintah mandamus yang dikemukakan empat Undang Negeri Sembilan pada 17 Julai lalu di Mahkamah Tinggi adalah 'formula' yang diperkatakan sejak kebelakangan ini.


Persoalan itu dikemukakan Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Rembau, Md Sani Md Shah susulan dokumen permohonan semakan kehakiman berhubung kemelut institusi diraja Negeri Sembilan yang tular di media sosial.


Md Sani berkata, persoalan utama yang perlu dijawab ialah sama ada Menteri Besar baharu, Datuk Ismail Lasim tertakluk kepada perintah mandamus berkenaan sekiranya mahkamah membenarkan permohonan tersebut.


"Adakah Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu, Datuk Ismail Lasim, tertakluk di bawah perintah itu?


"Jika ya, adakah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan akan disingkirkan? Adakah Menteri Besar yang baharu perlu melaksanakan perintah tersebut?" tanyanya.


Beliau turut mempersoalkan apakah pendirian Umno Negeri Sembilan sekiranya Ismail tidak melaksanakan sebarang perintah mahkamah berkaitan perkara berkenaan.


Menurut Md Sani, persoalan tersebut wajar dijelaskan secara terbuka memandangkan Ismail baru sahaja dilantik sebagai Menteri Besar dan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Md Sani Md Shah
Md Sani Md Shah

Katanya, sebarang perkembangan berkaitan permohonan mandamus itu mempunyai implikasi besar terhadap pentadbiran negeri sekiranya mahkamah akhirnya memberikan perintah yang dimohon.


"Rakyat Negeri Sembilan perlu tahu kedudukan sebenar. Adakah Menteri Besar yang baru dilantik ini mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan apa yang dimohon dalam perintah mandamus tersebut sekiranya ia diluluskan mahkamah?


"Dan apakah pendirian Umno Negeri Sembilan dalam perkara ini?" katanya.


Terdahulu, The Edge melaporkan, tiga bekas Undang Negeri Sembilan dan seorang Undang yang masih memegang jawatan memfailkan permohonan semakan kehakiman baharu di mahkamah berhubung kemelut institusi diraja Negeri Sembilan.


Keempat-empat mereka ialah Datuk Mubarak Thahak, yang statusnya sebagai Undang Sungai Ujong dipertikaikan, Datuk Maarof Mat Rashid, bekas Undang Jelebu, Datuk Abd Rahim Yasin, bekas Undang Rembau, serta Datuk Muhammed Abdullah, Undang Johol ketika ini.


Mereka menamakan Menteri Besar Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri sebagai responden dalam permohonan berkenaan.


Permohonan itu difailkan pada 17 Julai menerusi Tetuan Azam Aziz & Co dan antara lain memohon perintah mandamus bagi memaksa Menteri Besar menandatangani dokumen proklamasi yang bertujuan menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz sebagai pemerintah negeri.


Mereka turut memohon supaya satu lagi proklamasi yang menamakan Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 disahkan.


Keempat-empat mereka juga memohon perintah mahkamah supaya Menteri Besar menandatangani dokumen berkenaan dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh perintah mahkamah.


Selain itu, mereka memohon deklarasi bahawa dokumen proklamasi yang ditandatangani pada 19 April lalu merupakan dokumen yang sah di sisi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.


Menurut afidavit yang dikemukakan Undang Johol, Muhammed Abdullah, keempat-empat mereka sebelum itu menghadiri mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 5 Mac yang dipengerusikan Tuanku Muhriz.


Mesyuarat itu turut dihadiri Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri serta Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid, Datuk Shahbandar Sungai Ujong.


Muhammed mendakwa mesyuarat tersebut menjadi tegang selepas Mubarak menyuarakan dakwaan berkaitan pelanggaran beberapa adat oleh Tuanku Muhriz.


Dalam permohonan itu, keempat mereka mendakwa telah melaksanakan tanggungjawab berperlembagaan sebagai Undang untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz dan memohon Menteri Besar mengesahkan tindakan tersebut.


Permohonan kebenaran (leave) bagi semakan kehakiman itu dijadual didengar di Mahkamah Tinggi pada 10 Ogos di hadapan Hakim Norliza Othman.


Dalam pada itu, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta setiausahanya, Raja Norazli Raja, telah memfailkan permohonan untuk mencelah dalam prosiding berkenaan.


Justeru itu Md Sani berkata, perkembangan tersebut menjadikan persoalan mengenai kedudukan Menteri Besar dan pendirian Umno Negeri Sembilan semakin penting untuk diperjelaskan kepada rakyat.


"Ini bukan sekadar soal politik. Ia melibatkan kedudukan Menteri Besar, kerajaan negeri dan institusi diraja Negeri Sembilan.


"Sebab itu Datuk Seri Mohamad Hasan perlu menjelaskan apakah pendirian Umno Negeri Sembilan dan apakah sebenarnya kedudukan Menteri Besar baharu dalam isu ini.


"Adakah ini yang Datuk Seri Mohamad Hasan maksudkan sebagai formula itu?" soalnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page