top of page

Adakah Pas - Bersatu bergabung kerana wang? - Angkatan Muda HARAPAN

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 36 minutes ago
  • 2 min read
ree

Angkatan Muda HARAPAN (AMH) hari ini mempersoalkan punca sebenar kerjasama Pas dan Bersatu sejak lima tahun lalu, susulan pertelingkahan kedua-dua parti itu berhubung soal perbelanjaan dana kempen pilihanraya.


Ketua Penerangan AMH, Ammar Atan (gambar) dalam satu kenyataan berkata, episod berkenaan telah membuktikan politik berasaskan wang yang menjadi senjata utama Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.


"Tidak keterlaluan untuk mengatakan, apa yang berlaku hanyalah gambaran budaya rasuah, salah guna sumber dan permainan duit yang sudah sebati dalam Perikatan Nasional (PN)," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, lebih mengejutkan apabila pengakuan mengenai soal kewangan itu datang sendiri daripada pimpinan Pas dan Bersatu.


"Pengakuan ini tidak lain tidak bukan membongkar pekung sebenar Perikatan Nasional (PN) sebuah gabungan yang hidup dan bernyawa kerana duit, bukan kerana perjuangan," ujarnya.


Menurut beliau, rakyat tidak lupa bagaimana PN berbelanja besar semasa PRU15 dengan membanjiri media sosial melalui pempengaruh berbayar dan propaganda maya.


"Beginilah wajah sebenar PN cuba menipu persepsi rakyat dengan kekuatan wang, bukannya meyakinkan dengan dasar yang bernas," katanya lagi.


Dalam nada tegas, beliau turut mengkritik Pas yang menurutnya gagal memisahkan imej Islam yang dijaja dengan budaya politik wang yang diamalkan.


"Jauh sekali antara slogan perjuangan yang dilaungkan dengan realiti budaya politik yang mereka amalkan," katanya.


Ammar menegaskan, rakyat khususnya anak muda harus menilai dengan bijak bahaya politik wang terhadap demokrasi negara.


"Masa depan negara tidak boleh ditentukan oleh siapa atau parti apa yang paling kaya, tetapi mesti dibina oleh siapa yang paling jujur dan berintegriti," tambahnya.


Tuduh menuduh antara Bersatu dan Pas bermula apabila Pengarah Pilihanraya Pas, Datuk Seri Sanusi Mohd Nor kelmarin mempertikai sikap Bersatu yang bertanding mengharapkan perbelanjaan dan tenaga kerja jentera Pas.


Hal itu dinafikan oleh bekas Ketua Setiausaha Sulit Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad yang menjelaskan bahawa semua kos kempen PN ketika PRU15 ditanggung oleh Bersatu, termasuk sumbangan besar yang diberikan kepada Pas.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page