top of page

Adakah kerajaan PN benar-benar mahu sidang Parlimen secara hibrid?


Oleh: Hassan Abdul Karim


ULASAN: Menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) tidak sekata dalam isu bilakah Parlimen akan dibuka semula.


Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin tidak bersetuju Parlimen dibuka sekarang sehinggalah dicapai imuniti kelompok vaksin Covid-19. Maksudnya, lama lagi baru Parlimen akan bersidang kembali. Ini pandangan Menteri Dalam Negeri merangkap Setiausaha Agung Parti Bersatu. Kita tahu Bersatu amat takut jika Parlimen bersidang semula.


Menteri PN yang lain menjaga hal-ehwal Parlimen dan undang-undang, Takiyuddin Hassan menyatakan semalam bahawa Kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pelaksanaan sidang Dewan Parlimen secara hibrid. Maknanya ada kemungkinan sidang Parlimen akan dibuka. Tetapi entah bila?


Sebagai seorang Ahli Parlimen yang ada kepentingan dalam soal asas demokrasi berparlimen di negara ini, saya terpanggil untuk memberi ulasan.


Kerajaan terus bercelaru


Pertama saya nampak, Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin bercelaru dalam soal bilakah Parlimen akan dibuka semula. Untuk tutup dan gantung Parlimen begitu mudah sekali tetapi mengapa bila hendak membukanya susah sangat?


Kepada pandangan Hamzah Zainudin, saya tidak berminat mengulas. Hal Parlimen bukan urusannya. Kita tidak galakkan wujud menteri busy-body yang campur urusan menteri lain. Hal Parlimen adalah bidang kuasa Takiyuddin Hassan sebagai menteri yang bertanggungjawab.


Takiyuddin Hassan bukan dari Parti Bersatu. Dia seorang yang dilatih sebagai peguam. Beliau faham dan mengerti konsep-konsep serta prinsip asas demokrasi berparlimen, peranan Parlimen, soal pengasingan kuasa, sistem semak dan imbang dan pelbagai konvensyen perundangan keperlembagaan yang mudah difaham termasuk yang sukar dan abstrak tetapi fundamental.


Kepada Menteri Takiyuddin Hassan serta Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang di-Pertua Dewan Negara dan Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua yang bermesyuarat pada hari Jumaat 4 Jun yang lalu, saya berasa amat musykil dan ingin bertanya beberapa soalan di sini, kerana ruang Ahli Parlimen menyoal di dalam Parlimen kini ditutup rapat.



Setelah 5 bulan, baru hendak mesyuarat?


Soalan Pertama: Sudah 5 bulan Parlimen digantung, hanya baru sekarang bermesyuarat untuk bincang kemungkinan Parlimen akan dibuka secara hibrid, bermaksud gabungan secara kehadiran fizikal dan juga secara maya? Kenapa tidak bincang sebelum Parlimen digantung? Kenapa tidak bincang sebaik sahaja Parlimen digantung. Masa lima bulan telah berlalu sia-sia.


Soalan Kedua: Adakah Menteri Takiyuddin Hassan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Harun, Yang di-Pertua Dewan Negara Dr Rais Yatim, Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said dan Rashid Hasnon, yang hampir kesemuanya mempunyai latarbelakang undang-undang menyedari bahawa dalam keadaan biasa (bukan Darurat) adalah satu kesalahan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan barang siapa mengganggu perjalanan urusan Parlimen dan gangguan terhadap sistem demokrasi Parlimen di negara ini?


Sangat mengecewakan setelah 5 bulan berlalu, baru sekarang pihak-pihak yang disebut di atas berbincang aspek infrastruktur, teknikal, undang-undang, peraturan dan kewangan sekiranya sidang Parlimen secara hibrid itu akan diadakan?


Soalan Ketiga: Mengapa lembam dan perlahan sangat? Anda semua adalah pemegang amanah menjaga institusi Parlimen, tunggak asas sistem demokrasi berparlimen di negara ini. Kami Ahli Parlimen yang lain dan rakyat Malaysia meletakkan amanah ke atas bahu anda untuk mempertahankan institusi Parlimen. Tahukah bahawa anda telah gagal melaksanakan tanggangjawab secara fidusiari? Jika bukan kerana Darurat, ia adalah satu kegagalan yang bersifat kesalahan jenayah.


Soalan Keempat: Kepada nama-nama besar yang disebut di atas, yang membawa gelaran Tan Sri dan Datuk kurniaan negara dan negeri, adakah anda benar-benar jujur untuk membuka semula Parlimen?


Atau adakah mesyuarat yang anda lakukan pada Jumaat lepas dan kenyataan media oleh Menteri Takiyuddin Hassan sekadar “public relation” atau “lip-service” sahaja, seperti melepaskan batuk ditangga? Kenyataan Menteri Takiyuddin Hassan seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian (5 Jun 2021) seperti berikut: “Mesyuarat turut memutuskan supaya kajian lebih terperinci dibuat segera bagi menyediakan kertas lengkap yang akan diangkat dalam waktu terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan jemaah menteri,”


Soalan Kelima: Sudah 5 bulan Parlimen digantung dan dinafikan hak bersidang, sekarang masih perlu dibuat kajian lebih terperinci lagi? Selama ini tidak dikaji? Terperinci yang macam mana lagi?


Adakah menteri kabinet PN suka buka Parlimen?


Dengan rendah diri, saya mohon menyatakan bahawa isu yang sebesar gajah di dalam bilik yang menghalang anda semua membuka Parlimen ialah kerana wujudnya Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) yang Kabinet Darurat Kerajaan PN gubal dan dijadikan undang-undang darurat di bawah dekri Yang di-Pertuan Agong. Itu isu sebenarnya.


Kalau mahu buka Parlimen, maka batalkan dahulu Undang-Undang Darurat tersebut. Anda semua yang menjadi pemegang taruh atau stake-holder Parlimen yang bijaksana semua, tidak perlulah berlari mengelilingi belukar kecil, macam tidak nampak isu yang sebenar. Kalau tak faham, tanyalah Peguam Negara, penasihat undang-undang kepada Kerajaan.


Soalan Keenam: Kalau kertas lengkap yang dikatakan oleh Menteri Takiyuddin Hassan itu siap dan diangkat ke mesyuarat kabinet untuk kelulusan, adakah pasti Kabinet Kerajaan PN akan bersetuju dengan cadangan untuk membuka semula parlimen waktu sekarang ini? Rasa-rasanya Menteri seperti Hamzah Zainuddin tentu sudah bersedia untuk menolak cadangan dari Menteri de-facto Undang-Undang, Takiyuddin Hassan itu.


Takiyuddin Hassan sebenarnya secara “subconscious” seperti tidak yakin dengan cadangannya sendiri apabila menyatakan beliau dan lain-lain yang bermesyuarat 4 Jun lalu “pada dasarnya bersetuju dengan pelan konsep Parlimen hibrid ini,”. Maksudnya mereka baru bersetuju pada dasarnya sahaja. Itulah hasil mesyuarat orang-orang besar Parlimen Malaysia. Sekadar bersetuju pada dasarnya sahaja.


Soalan Ketujuh dan terakhir: Apakah Takiyuddin Hassan, Azhar Harun, Rais Yatim, Azalina Othman Said dan Rashid Hasnon yang menjadi pemegang taruh institusi Parlimen mempunyai keazaman politik yang kuat untuk mendesak sehingga berjaya menuntut Kabinet Darurat Kerajaan PN membuka semula Parlimen Malaysia secara hibrid?


Sama-samalah kita perhatikan.


_________________________________________________________________________________


Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page