
Ekonomi pandemik yang berlarutan sejak Mac 2020 hingga kini menyebabkan sekian banyak penyewa yang tidak mampu membayar sewa akibat hilang pekerjaan, kemerosotan perniagaan dan sebagainya.
Kerajaan Perikatan Nasional pula hanya menumpukan pengecualian sewa atau moratorium kepada golongan yang menetap di rumah disediakan kerajaan.
Ahli Parlimen Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PH - Wangsa Maju) bertanya adakah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperkenalkan dasar moratorium sewa ke atas kediaman milik swasta.
"Selain daripada memberi bantuan kewangan saya difahamkan ramai menyewa yang menghadapi masalah terdiri daripada penyewa yang yang menyewa kondominium atau rumah kos sederhana.
"Adakah kerajaan bercadang mengadakan moratorium mengusir (ke atas penyewa kelompok itu) dan membina rumah perlindungan semenara bagi mereka yang kena halau kerana tak mampu membayar sewa?
"Di beberapa negara luar kerajaan telah membekukan sewa dengan membenarkan lanjutan atau memperbaharui kontrak sewa secara automatik. Saya ingin tahu adakah kerajaan akan mengambil tindakan yang sama seperti di negara-negara tersebut," katanya dalam perbahasan sesi pagi di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Ismail Abd Mutalib menjawab berdasarkan apa yang diluluskan pada tahun lalu, kerajaan telah mengecualikan sewa bagi penghuni rumah PPR dan mana-mana projek lain yang disediakan KPKT.
Mengenai dasar moratorium sewa sebagaimana diamalkan di luar negara, katanya, kerajaan masih belum mempunyai sebarang pertimbangan.