Ada keperluan tambah aset APM di Sabah, Sarawak - Mustapha Sakmud
- Suara Keadilan

- 3 days ago
- 1 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud (gambar) menyeru Kerajaan Persekutuan meneliti keperluan menambah aset Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) khususnya di Sabah dan Sarawak.
Langkah tersebut tegasnya bagi bagi memastikan kesiapsiagaan agensi tersebut berada pada tahap optimum dalam mendepani cabaran bencana yang dilihat semakin kompleks dan kritikal.
Ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) ke-74 beliau turut berkata, hasil lawatan ke beberapa lokasi di seluruh negara juga mendapati ada keperluan untuk bilangan anggota APM ditambah.
"Memang daripada segi anggota masih tidak mencukupi tetapi kita bersedia melatih anggota sukarelawan untuk menampung keperluan itu .
"Kita harap APM akan terus cemerlang dan dapat mendepani pelbagai cabaran. Kita tahu sekarang ini bencana bukan lagi seperti dahulu, bencana kita semakin kritikal," kata Mustapha yang juga Pesuruhjaya Kehormat APM.
Mustapha pada April lalu berkata, keluasan geografi Sabah dan Sarawak memerlukan pendekatan berbeza dari segi logistik dan keperluan aset APM, termasuk penggunaan kenderaan pacuan empat roda serta sokongan bahan api bersubsidi.
Selain itu ada keperluan untuk menaik taraf pusat operasi APM termasuk di kawasan berisiko tinggi serta memperkukuh kemudahan sedia ada bagi memastikan tindak balas kecemasan lebih cekap.




Comments