'Ada elit tidak senang dasar anti-rasuah, integriti' - PM
- Suara Keadilan
- 18 minutes ago
- 1 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan dasar kerajaan yang menekankan soal tadbir urus yang baik serta integriti dengan menolak keras amalan rasuah tidak disenangi segelintir golongan elit di negara ini.
Perdana Menteri berkata isu tersebut dilihat kurang dibangkitkan dalam perbahasan di Parlimen melainkan hanya membabitkan kes-kes politik tertentu.
"Polemik dan wacana serta debat di Parlimen paling kurang soal-soal ini (integriti).
"Kalau ada soal rasuah itu pun ditujukan kepada kes-kes politik tetapi tidak ada sambutan," kata beliau dipetik.
Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Integriti Perdana Menteri & AIGA 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Aminudin Shari.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pihak sudah mendengar terdapat ahli politik mendakwa sistem sekarang ditolak kerana kerajaan cukaikan orang miskin tetapi orang kaya diberi bantuan.
Beliau berkata pihaknya tidak tahu dari sumber mana maklumat itu diperoleh.
"Sebab itu pendidikan, pencerahan (isu rasuah), soal tadbir urus dan integriti yang saya tekankan dari segi pemerintahan keseluruhannya.
"Seorang yang berintegriti sudah tentu tidak korup manakala tadbir urus yang baik pada asasnya bermaksud nilai-nilai yang baik, aspirasi kemanusiaan yang sewajarnya," katanya.
Terdahulu Perdana Menteri ajaran Islam sendiri turut mengandungi persoalan membabitkan tadbir urus yang baik.
Jelasnya usaha membina negara yang hebat perlu bermula dengan pengukuhan tadbir urus yang baik dan integriti serta menolak rasuah.
"Saya merayu jika ingin selamatkan diri Dan keluarga, menjamin masa depan anak-anak dan hebatnya negara, mesti bermula dengan tadbir urus, integriti dan tolak rasuah," tegas beliau.