top of page

SEA 2027: KBS perkukuh persiapan atlet negara secara berfasa

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 10 minutes ago
  • 1 min read

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal memperkukuh pembangunan atlet kebangsaan menerusi pelaksanaan persiapan berprestasi tinggi secara berfasa.


Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari (gambar) di Dewan Rakyat pada Khamis berkata, fasa pertama yang bermula Januari ini akan memberi tumpuan kepada pemilihan dan mengenal pasti atlet berpotensi serta penyediaan sokongan latihan.


Ia kemudian akan disusuli fasa pemerkasaan prestasi melalui latihan berintensiti tinggi sebelum fasa latihan sepenuh masa bagi memastikan kesiapsiagaan optimum atlet.


"Pencapaian 231 pingat pada Sukan SEA tahun lepas, melepasi sasaran 200 pingat, menjadi asas kukuh untuk merangka strategi pembangunan atlet yang lebih berkesan," katanya dipetik.


Dr Mohammed Taufiq sebelumnya menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) berhubung rancangan KBS untuk meningkatkan prestasi atlet pada acara besar seperti Sukan Olimpik.


Sementara itu tambahnya, selain aspek fizikal, pihak kementerian turut memberi penekanan terhadap kesejahteraan mental atlet bagi memastikan mereka kekal fokus dan mempunyai semangat juang tinggi.


"Sehubungan itu, KBS menjalinkan kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memastikan atlet ini berjuang bersungguh-sungguh membawa nama negara," tambahnya.


Minggu lalu, Dr Mohammed Taufiq menyatakan sasaran kementeriannya untuk memastikan Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan SEA 2027 sekali gus mengulangi pencapaian cemerlang Malaysia sebagai kuasa sukan di rantau ini.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page