Kerajaan Selangor kekalkan model PPP dalam pelaksanaan RS-2 – MB
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Rancangan Selangor Kedua (RS-2) mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Selangor dalam memastikan pembangunan negeri dilaksanakan secara terancang, inklusif dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri akan mengekalkan pendekatan kerjasama kerajaan-swasta (PPP) dalam pelaksanaan RS-2, bukan sahaja bagi menjamin pembiayaan berdaya tahan tanpa membebankan kewangan negeri, malah untuk mempercepat agenda pembangunan Selangor.
"Kerjasama strategik ini mampu mempercepat pelaksanaan projek, mengoptimumkan pelaburan serta memperkukuh daya saing Selangor sebagai negeri maju dan berdaya tahan.
"Pendekatan ini seterusnya akan memberi pulangan manfaat yang menyeluruh kepada seluruh rakyat Selangor," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Amirudin menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin bersama barisan pengurusan tertinggi kumpulan perbankan tersebut.
Menurut beliau, pertemuan itu memberi tumpuan kepada peranan yang boleh dimainkan institusi perbankan seperti CIMB dalam menyokong pembiayaan projek strategik kerajaan negeri, dengan matlamat memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.
RS-2 adalah pelan strategik lima tahun yang merangkumi ekonomi, sosial, teknologi, mobiliti, pendidikan dan kesejahteraan rakyat dengan tujuan memastikan Selangor terus maju dan inklusif dan kekal sebagai negeri peneraju ekonomi di Malaysia.
Antara tumpuan utama RS-2 ialah rancangan pembangunan jajaran rel Selangor bagi menghubungkan kawasan utara dan selatan negeri yang masih belum diliputi rangkaian LRT dan MRT.
Selain itu, RS-2 turut akan mengkaji kewajaran usaha peremajaan semula bandar dan lokaliti yang dibangunkan sejak 1970-an bagi mengelakkan kemerosotan kualiti infrastruktur.









Comments