top of page

'Pembangkang ada berlori calon PM, tapi pengerusi pun PN gagal dilantik'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 19 minutes ago
  • 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad


Dakwaan Pas kononnya Perikatan Nasional (PN) mempunyai ramai calon berwibawa sebagai Perdana Menteri disifatkan tidak selari dengan realiti sebenar kerana sehingga kini gabungan itu masih gagal melantik Pengerusi PN, walaupun isu tersebut berlarutan hampir dua minggu.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Iman Haziq (gambar), berkata kegagalan menyelesaikan perkara asas kepimpinan gabungan pembangkang membuktikan struktur organisasi PN rapuh dan tidak bersedia untuk mentadbir negara.


"Mereka nak berselindung pun tak boleh dah. Ini bukan sahaja jelas di mata orang politik tetapi juga di mata rakyat. Sampai sekarang kita tak nampak siapa calon Perdana Menteri mereka.


"Kita tak nampak sesiapa yang benar-benar berwibawa untuk memikul peranan itu. Dan ini dibuktikan lagi apabila jawatan Pengerusi PN pun masih belum dilantik," kata Iman Haziq kepada Suara Keadilan.


Beliau menegaskan, sama ada PN mahu menarik balik keputusan menyingkirkan bekas pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, atau melantik pengerusi baharu, sehingga kini tiada keputusan muktamad dibuat malah mesyuarat bagi menyelesaikan perkara tersebut juga belum diadakan.


"Benda asas ni (mesyuarat)... PN dah bertahun-tahun wujud tapi masih gagal uruskan. Ini menunjukkan betapa rapuhnya struktur organisasi mereka," katanya.


Beliau mempersoalkan bagaimana sebuah gabungan politik yang gagal mengurus isu kecil dalamannya mampu diharapkan untuk mentadbir sebuah negara seperti Malaysia yang kini berada dalam fasa pemulihan dan prestasi ekonomi yang semakin baik, malah antara yang terbaik di Asia.


Mengulas persepsi penyokong PN, beliau berkata sebahagian mereka masih terperangkap dengan sentimen politik sehingga gagal melihat realiti sebenar.


"Kenyataan dan fakta sebenar itu mengaburi mata mereka. Tapi rakyat hari ini semakin celik. Kita bergerak ke depan, bukan ke belakang.


"Benda yang kecil depan mata pun mereka tak mampu urus dengan baik. Jadi jangan bercakap soal negara," tambahnya.


Iman Haziq turut menolak dakwaan PN yang sering melabel Kerajaan Perpaduan sebagai rapuh dan bergaduh sesama sendiri, sedangkan realitinya kerajaan hari ini terus berfungsi dan menunjukkan prestasi yang stabil.


"Mereka kata kita bergaduh, tapi kita ‘perform’. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang kita pegang tidak goyah. Sebaliknya, mereka sendiri bergaduh sampai Kerajaan Negeri mereka runtuh, termasuk di negeri kecil seperti Perlis," katanya.


Beliau berkata, situasi itu seharusnya menjadi amaran kepada rakyat tentang risiko jika PN diberi tanggungjawab mentadbir negeri-negeri lebih besar, apatah lagi negara.


Mengulas perkembangan semasa negara, beliau menegaskan bahawa penilaian harus dibuat berdasarkan fakta dan rekod prestasi semasa.


"Ekonomi negara bergerak ke depan. Ini bukan soal kepentingan politik, tetapi realiti yang terbukti. Ada ‘progress’, dan itu yang paling penting untuk rakyat tahu dan nampak," katanya sambil menambah bahawa rakyat tidak seharusnya terpengaruh dengan sentimen sempit sehingga menafikan pencapaian dan pengiktirafan yang sedang dikecapi Malaysia ketika ini.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page