ABIM sokong gesaan PM ASEAN jalin kerjasama hadapi perang dagang
- Suara Keadilan
- Apr 10
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerjasama lebih erat antara negara ASEAN untuk menghadapi perang dagang yang dicetuskan oleh Amerika Syarikat (AS).
Presidennya Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pengumuman tarif baharu oleh Presiden AS, Donald Trump baru-baru ini dianggap bukan sekadar bersifat keuntungan perdagangan semata-mata kerana ia jelas menjurus ke arah untuk menekan ekonomi negara lain sekaligus mengukuhkan penguasaan negara itu dalam arena politik antarabangsa.
"ABIM berpandangan Malaysia sebagai sebuah negara yang komited terhadap keadilan ekonomi global boleh memainkan peranan aktif dalam menyatukan negara-negara serantau dan termasuk negara Islam untuk menentang hegemoni ini secara kolektif dan berprinsip.
"Pertemuan antara China, Jepun dan Korea Selatan di Kuala Lumpur merupakan antara indikasi kepercayaan negara-negara besar terhadap peranan Malaysia sebagai platform dialog yang neutral dan strategik," katanya dalam kenyataan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan ketika mempengerusikan persidangan meja bulat pelabur mengenai menjajarkan agenda pertumbuhan ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Selasa menegaskan ASEAN perlu bergantung sesama sendiri dengan memperkukuh perdagangan intra-ASEAN.
Ia bagi mendepani persekitaran tarif global yang mencabar terutama berikutan pengumuman tarif baharu oleh AS.
Sementara itu Ahmad Fahmi menegaskan, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini berpeluang memanfaatkan platform Sidang Kemuncak ASEAN bersama Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China yang dijadualkan akhir Mei ini untuk meletak asas kerjasama ekonomi blok ASEAN +3 (China, Jepun dan Korea Selatan)
Inisiatif tersebut jelasnya akan membuka ruang baharu, bukan sahaja untuk negara-negara ASEAN tetapi juga negara-negara dari dunia Islam, Kesatuan Eropah (EU) dan negara lain bagi menerokai ruang ekonomi serta perdagangan baharu yang lebih adil dan seimbang.
"Dunia Islam perlu proaktif untuk memainkan peranan strategik dalam mencipta lapangan ekonomi global yang lebih saksama untuk semua," katanya.
Comments