top of page

ABIM: Serangan Israel ke atas Qatar gugat keamanan Asia Barat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 10
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyifatkan serangan udara Israel ke atas Doha, Qatar semalam sebagai satu tindakan yang mencabar kedaulatan negara berdaulat dan membahayakan usaha perdamaian di rantau Asia Barat.


Presidennya Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata tindakan itu menunjukkan Israel tidak menghormati proses rundingan serta pihak yang berperanan sebagai orang tengah.


"Dengan menyasarkan kepimpinan Hamas ketika pertemuan gencatan senjata di Doha, Israel memperlihatkan penolakan terhadap sebarang usaha perdamaian dan meremehkan peranan negara yang bertindak sebagai mediator," katanya dalam kenyataan hari ini.


Qatar sejak sekian lama memainkan peranan penting dalam usaha perdamaian di Asia Barat khususnya dengan menjadi tuan rumah rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas.


Negara itu juga menjadi saluran diplomatik penting bagi bantuan kemanusiaan ke Gaza serta berfungsi sebagai penghubung antara pelbagai pihak yang terlibat dalam konflik.


Serangan ke atas Doha dilihat sebagai tamparan besar terhadap usaha mediasi kerana ia bukan sahaja menggugat keselamatan wilayah Teluk malah menghantar mesej bahawa peranan negara neutral sekalipun tidak dihormati.


Menurut Ahmad Fahmi serangan tersebut memberi isyarat bahawa tiada negara yang selamat daripada tindakan Israel malah negara lain termasuk Malaysia juga berpotensi dijadikan sasaran atas alasan tertentu.


Katanya kebimbangan itu lebih ketara apabila Malaysia mengambil pendirian tegas menyokong perjuangan rakyat Palestin termasuk penglibatan rakyat Malaysia dalam delegasi terbesar Global Sumud Flotilla baru-baru ini.


Tambah beliau krisis kemanusiaan di Gaza semakin parah dengan lebih 65,000 nyawa terkorban sejak 7 Oktober 2023 termasuk wanita dan kanak-kanak.


Serangan Israel ke atas Gaza menyebabkan kemudahan awam seperti hospital, sekolah serta pusat perlindungan awam turut musnah hingga menyebabkan penduduk Palestin berdepan kebuluran dan kekurangan rawatan perubatan, katanya.


Ahmad Fahmi menegaskan bahawa kegagalan sistem antarabangsa terutama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melaksanakan resolusi perlindungan rakyat awam hanya membuka ruang kepada Israel untuk terus bertindak tanpa sebarang akauntabiliti.


"Jika masyarakat antarabangsa benar-benar serius menegakkan keamanan, langkah konkrit mesti diambil untuk mengheret Israel ke muka pengadilan dan memaksa ia mematuhi undang-undang antarabangsa," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page