Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah menyambut baik keputusan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim membenarkan projek pembangunan negeri bernilai RM50 juta dan ke bawah diputuskan di peringkat negeri tanpa melalui birokrasi Putrajaya.
Hal itu, kata Yang Dipertua ABIM Sabah Mohd Nur Hilmie Milus akan merancakkan lagi pembangunan insfrastruktur bagi rakyat negeri itu.
"Langkah ini menggembirakan rakyat Sabah selepas pengumuman Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Kerajaan Sabah pada 21 Disember 2022 yang lalu.
"Pengumuman tersebut menunjukkan keseriusan dan keprihatinan Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membela nasib rakyat Sabah dengan menunaikan hak autonomi Sabah dan Sarawak serta memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya.
Kata beliau, selepas ini Kerajaan Negeri akan dapat menyelaras, melulus dan menguruskan peruntukan-peruntukan dengan baik serta lancar tanpa melalui liku-liku birokrasi yang biasanya melambatkan proses kelulusan projek dan akhirnya pembangunan infra di Sabah menjadi lembap dan selalu mengalami kelewatan dari tarikh jangka siap.
Dalam pada itu ABIM Sabah juga, katanya, berharap polisi baharu Kerajaan Persekutuan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk kemaslahatan rakyat Sabah dengan menumpukan dahulu keperluan infrastruktur asas dan utama seperti kemudahan bekalan air bersih, tenaga elektrik, jalanraya serta liputan jaringan komunikasi internet yang sentiasa menjadi masalah rakyat Sabah dalam menguruskan rutin kehidupan seharian.
"ABIM Sabah suka mengingatkan kepada pihak agensi yang terlibat dalam pengurusan peruntukan tersebut agar menjaga ketelusan dan tatakelola urustadbir kewangan yang baik agar perbelanjaan projek dapat dioptimakan sepenuhnya tanpa ada kebocoran atau keciciran berlaku.
"ABIM juga ingin memohon agar tidak melupakan tumpuan projek penambahbaikan fasiliti-fasiliti pendidikan di sekolah-sekolah terutamanya kawasan pedalaman.
"Perihal keperluan fasiliti pendidikan ini diharapkan dapat dimasukkan dalam permohonan peruntukan khas yang bakal dibincangkan oleh Ketua Menteri Sabah bersama Perdana Menteri dalam waktu yang terdekat. Seterusnya projek yang bertumpu di sekolah haruslah dikaji, dinilai dan dicerakinkan semula agar ia boleh membantu menyelesaikan isu pendidikan setempat dan ditambah baik lagi demi meningkatkan minat pelajar datang ke sekolah," katanya lagi.
Hilmie menegaskan, ABIM Sabah meletakkan harapan agar dengan usaha murni yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri ini sentiasa mendapat sambutan dan sokongan dari Kerajaan Negeri Sabah.
Comentários