ABIM perlu terus jadi obor dakwah, bela umat - Anwar
- Helmi Mohd Foad
- 1 day ago
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah sempena ulang tahun ke-55 Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sambil menyifatkan pertubuhan itu sebagai gerakan dakwah dan mahasiswa yang kekal berpegang kepada jati diri harakah Islamiah.
Perdana Menteri berkata sambutan lebih lima dekad itu bukan sekadar melambangkan tempoh penubuhannya malah mencerminkan perjalanan perjuangan yang dibina atas asas pengorbanan, adab, akhlak dan kepercayaan.
"ABIM adalah pelanjut perjuangan mahasiswa dan dakwah yang punya jati diri harakah Islamiah. Pada usia 55 tahun ia bukan sekadar hitungan umur, tetapi garisan perjuangan yang ditulis dengan pengorbanan, adab, akhlak dan kepercayaan," katanya dalam hantaran di media sosial.

Menurut Anwar, suara dakwah bukan sekadar bergema di mimbar malah menjadi denyut yang menghidupkan umat menerusi usaha menyantuni golongan mustadh'afin, mendidik generasi, mengangkat martabat insan serta menyalakan obor perjuangan dalam mendepani cabaran zaman.
Anwar turut mendoakan agar ABIM terus menjadi sebuah gerakan yang teguh berpegang kepada nilai dan prinsip serta terus memberi manfaat kepada masyarakat.
"Semoga pada usia ke-55 ini, ABIM terus menjadi pohon yang akarnya teguh mencengkam nilai, kukuh menahan badai dan dahannya terus rendang menaungi umat," katanya.
Beliau mengakhiri hantaran itu dengan mengucapkan Selamat Menyambut Ulang Tahun ke-55 kepada seluruh warga dan pendukung ABIM.
Anwar mempunyai hubungan yang rapat dengan sejarah penubuhan dan perkembangan ABIM apabila pernah memegang jawatan Presiden pertubuhan itu dari 1974 hingga 1982.
Di bawah kepimpinannya, ABIM berkembang sebagai antara gerakan belia Islam yang berpengaruh di negara ini dengan penekanan terhadap dakwah, pendidikan, kebajikan serta pembangunan masyarakat, sebelum beliau menyertai kerajaan pada 1982.
Selepas itu ABIM mengambil sikap memberikan dukungan kepada Anwar dan kerajaan.
Sokongan kuat ABIM terus berkekalan apabila pertubuhan belia itu memainkan peranan penting dalam gelombang awal gerakan Reformasi menerusi penglibatannya dalam Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK), gabungan pertubuhan masyarakat sivil yang ditubuhkan selepas pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998.
