ABIM Perak pacu agenda perubahan sosial berteraskan nilai Islam
- Suara Keadilan
- 8 hours ago
- 2 min read

Muktamar Belia Islam ke-53 anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Perak semalam mengumumkan tema “Membangun Generasi Qawiy (Kuat) dan Amin (Amanah) berteraskan Nilai Madani”.
Muktamar tahunan tersebut memperjelas tekad ABIM Perak untuk terus memacu agenda perubahan sosial berteraskan nilai Islam dan kenegaraan yang seimbang, selari dengan gagasan Malaysia Madani diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Naib Presiden ABIM, Zairudin Hashim dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa Malaysia Madani bukanlah satu gagasan kerdil tetapi melibatkan kerangka khazanah ilmu dan minda umat peninggalan ilmuwan serta pemikir besar Islam.
"Dalam dasar Malaysia Madani, matlamat yang ingin dicapai ialah sebuah masyarakat yang maju, terampil dan terangkum.
"Untuk itu, kerangka dasar baharu negara itu hendaklah diterjemah dalam bentuk realiti secara praktikal melalui pelaksanaan dan tekad politik yang sebenar

"Soal Madani ini bukan hanya soal istilah atau wacana kosong. Sebaliknya, ia tentang perlaksanaan kata-kata. Keberanian bertindak, tentang melakukan dan melaksanakan.
"Perlaksanaan Madani itu perlu menyeluruh dan dirasai oleh masyarakat terbanyak, dari miskin bandar hingga ke ceruk pedalaman," ujarnya.
Sementara itu, dalam ucapan dasar Yang Dipertua ABIM Perak, Ustaz Mohamad Saifuddin Abdul Latiff, beliau menekankan generasi muda hari ini perlu dibina bukan sahaja sebagai insan yang celik teknologi dan cerdas intelek, tetapi juga kukuh integriti dan akhlaknya.
Menurut beliau, dua sifat utama, Qawiy (kuat) dan Amin (amanah) diangkat sebagai prinsip asas dalam melahirkan pemimpin masa depan yang beretika dan berdaya saing global.
ABIM Perak turut menyokong sepenuhnya kerangka Malaysia Madani yang menekankan nilai ihsan, hormat, keadilan, kebebasan dan keterangkuman, sebagai asas kepada pembangunan manusia yang holistik.
Dalam konteks dunia yang semakin kompleks termasuk kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI), muktamar ini menggariskan kepentingan membimbing anak muda untuk menjadi pelaku sejarah yang bukan sekadar celik teknologi, tetapi memandu teknologi dengan nilai.