Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa Israel untuk melaksanakan segera keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam menyediakan langkah-langkah mencegah berterusannya pembunuhan beramai ramai umat Islam di Gaza, Palestin.
Menurut Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, tindakan tekanan antarabangsa ke atas Israel sebagaimana keputusan ICJ itu amat penting ke arah menoktahkan penderitaan penduduk di Gaza.
"ABIM menekankan kepentingan kritikan semua pihak terutama Israel dan sekutu-sekutunya iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom serta pihak-pihak lain yang memungkinkan perbuatan genosid, untuk mematuhi keputusan ICJ dan untuk Majlis Keselamatan memastikan pematuhan segera terhadap langkah-langkah sementara yang digariskan.
"Kita berharap keputusan ini akan menyumbang kepada masa depan yang lebih cerah dan selamat untuk penduduk Gaza, dan kami mengulangi gesaan agar gencatan senjata dilaksanakan serta-merta di Gaza," katanya dalam satu kenyataan malam tadi sejurus selepas ICJ membacakan keputusan yang memihak kepada Afrika Selatan dalam kes ke atas Israel.
Comments