top of page

ABIM lancar kempen tolak kebencian kaum, rakyat perlu pertahan keharmonian



Rakyat Malaysia diseru mempertahankan keharmonian kaum dalam apa keadaan sekali pun.


Menurut Naib Presiden ABIM, Zairudin Hashim, kempen Pilihan Raya Umum ke 15 menyaksikan semangat perkauman dijadikan modal kempen politik dan hal itu tidak baik untuk kelangsungan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.


"ABIM memandang berat kebimbangan rakyat terhadap sentimen perkauman yang bersemarak susulan penganjuran PRU 15 baru-baru ini.


"Dalam hal ini ABIM menyambut baik ketegasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta warga Malaysia yang prihatin untuk membanteras gejala ini yang dilaporkan merebak menerusi aplikasi media sosial.


"Selain itu, ABIM menyeru umat Islam merujuk kepada model yang digagaskan ilmuwan terkemuka, Al-Biruni, untuk berinteraksi antara agama serta kaum yang berbeza. Ini meliputi konsep saling mengenali untuk memadam sebarang prasangka yang menutup ruang dialog.


"Model ini mengingatkan kita untuk saling berkenalan serta tidak mengasingkan diri dalam kelompok sendiri semata-mata," katanya dalam kenyataan hari ini.


Tambah beliau, setiap kekurangan individu misalnya tidak boleh dibabitkan kepada kaumnya. Hal ini, katanya, turut meliputi sikap negatif serta kelakuan buruk yang tidak seharusnya dijustifikasikan untuk menghukum sesuatu kaum serta pegangan agama tertentu.


"Dalam Islam serta fahaman-fahaman agama lain di dunia tidak pernah menghasut para penganutnya untuk membenci antara satu sama lain.


"Hakikatnya, kebencian terhadap kelompok yang berbeza itu terbit daripada sikap taksub serta tertutup terhadap kepelbagaian serta perbezaan yang wujud," katanya.


Di samping itu, Zairudin juga mengingatkan rakyat mengenai titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang tidak mahu sesiapa pun merampas keharmonian kaum di negara ini lewat titah beliau.


'Setelah 62 tahun mencapai kemerdekaan, suara perpaduan yang menyatukan warga dan suara kesederhanaan yang merangkum warga, jangan sama sekali dibenarkan untuk dirampas oleh mana-mana pihak kerana tujuan politik sempit jangka pendek. Masa hadapan rakyat dan negara tidak harus diserahkan kepada kumpulan yang membawa ekstremis kaum, ekstremis agama'.


Oleh itu, katanya, ABIM hari ini melancarkan kempen tanda pagar #KitaKawan #SebarkanSalam #TolakKebencian #SayangiMalaysiaku sebagai peringatan terhadap keharmonian hidup yang dirintis sekian lama serta perlu dipertahankan daripada dibakar api perkauman oleh pihak berkepentingan sempit.


"ABIM menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan warna kulit, fahaman agama mahupun ideologi politik untuk bersama-sama memuatnaik gambar mahupun video berunsur perpaduan kaum di media sosial masing-masing dengan tanda pagar yang disebutkan.


"Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita semua mempunyai tanggungjawab untuk membawa mesej kasih sayang dan menjauhi kebencian," katanya lagi.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page