
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) kurang senang dengan pelantikan begitu ramai individu bertaraf Menteri sejak kewujudan kerajaan Perikatan Nasional 1.0 sejak setahun lalu.
Menurut Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz, lantikan bertaraf Menteri tidak wajar dijadikan satu budaya baharu dan dilaksanakan pula oleh kerajaan PN 2.0 hari ini yang didominasi Umno, sedangkan hal itu membawa implikasi besar kepada kewangan negara.
"ABIM menggesa Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia membentangkan garis panduan sebenar berhubung lantikan ini yang meliputi syarat keperluan, dasar kebertanggungjawaban dan akaunatbiliti terhadap Parlimen, batasan lantikan dan lain-lain agar pihak kerajaan bersifat jujur serta telus kepada rakyat sebelum sebarang lantikan dibuat.
"Dalam masa sama, perkara-perkara asas meliputi batasan lantikan dan akauntabiliti seperti dinyatakan harus dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan agar mereka turut sama memikul tanggungjawab yang termaktub dalam doktrin "Ministerial Responsibility" serta prinsip "Collective Responsibility" seperti yang wujud dalam Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Sehubungan itu, ABIM menolak lantikan bertaraf Menteri dijadikan habuan kepada individu-individu Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan semasa sebagaimana diamalkan dalam kerajaan PN 1.0 yang lalu.
"Dalam tempoh jangka panjang, ABIM khuatir lantikan bertaraf Menteri ini akan menjadi "political reward" / hadiah saguhati politik kepada mana-mana Ahli Parlimen yang menyokong seseorang menjadi Perdana Menteri dan pasti akan memberi kesan buruk kepada amalan demokrasi dalam negara," katanya lagi.
תגובות