Angkatan Belia Islan Malaysia (ABIM) mencadangkan agar Kerajaan Perpaduan dan pembangkang Perikatan Nasional mencari titik perdamaian selepas Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri.
Menurut presiden ABIM, Muhamamd Faisal Abdul Aziz, pertembungan berpanjangan tidak akan menguntungkan mana mana pihak terutama melibatkan kaum terbesar di Malaysia iaitu Melayu.
ABIM, kata beliau, khuatir pertentangan politik yang berterusan akan membawa kepada permusuhan semasa rakyat Malaysia secara berpanjangan.
"ABIM khuatir jika wabak politik kebencian ini terus berlaku, ia akan menjejaskan kestabilan negara dan rakyatnya akan hidup dalam keadaan pecah belah.
"Atas sebab tersebut ABIM menggesa pihak kerajaan serta pembangkang untuk bersama-sama duduk semeja mencari kesepakatan terutama dalam isu pembangunan ekonomi rakyat, kestabilan politik serta gesaan untuk segerakan agenda reformasi," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, sekiranya titik perdamaian politik dapat ditemukan maka satu memorandum kerjasama antara kerajaan dan pembangkang boleh dimeterai sebagaimana yang pernah berlaku dalam penggal lepas.
"Ia sebagai langkah untuk menuju pemeteraian Confidence Supply Agreement (CSA) atau Persetujuan Keyakinan dan Pembekalan.
"Persefahaman ini penting untuk menstabilkan keadaan politik negara serta membolehkan rakyat hidup secara harmoni tanpa dibayangi politiking keterlaluan.
"ABIM menegaskan bahawa hanya dengan kestabilan politik sahaja, agenda semak dan imbang dapat dijalankan dengan berkesan.
"Dengan “Persefahaman Persetujuan Keyakinan dan Pembekalan” ia akan membolehkan agenda reformasi institusi dijalankan secara lebih menyeluruh dan segera, di mana ia turut melibatkan peranserta pihak pembangkang selaku pemegang taruh (stake holder)," katanya lagi.
Tegas ABIM, lestabilan politik yang dirintis CSA itu juga akan membolehkan usaha membangunkan ekonomi negara dirancakkan secara berganda, yang mana hasilnya adalah untuk menjamin kesejahteraan rakyat.
Yorumlar