
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pusat dan ABIM Johor kelmarin menganjurkan majlis tahlil buat Almarhum Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael XPDC.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pertubuhan itu, majlis tersebut diadakan secara hybrid iaitu dalam talian melalui aplikasi Zoom dan fizikal.
"Tahlil fizikal diadakan di Taski ABIM Al Hidayah, ABIM Muar, Johor dan turut disiarkan secara ‘live streaming’.
"Turut hadir dalam majlis tersebut adalah presiden ABIM Muhammad Faisal Abdul Aziz, Ustaz Farhan Ashari (Yang Dipertua ABIM Johor); Syed Ali Syed Ibrahim (adik bongsu Mael XPDC); Zuar XPDC (pemain bass XPDC); Yazid Bro (Pengurus XPDC) serta Kartunis Sukun," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, nyanyian Mael XPDC yang disampaikan kepada masyarakat melalui bahasa yang mudah amat membekas dalam kalangan rakyat biasa terutama pada era 1990an.
Selain itu, daripada album-album XPDC dan Real XPDC, senikata serta tajuk lagu yang dinyanyikan Almarhum Mael juga banyak kali dicoretkan dalam kartun-kartun lukisan kartunis terkenal majalah komik Ujang era 90an seperti Kartunis Sukun dan Almarhum Kartunis Aie.
Mael, 55, pulang ke Rahmatullah pada 27 April 2023 lalu. Beliau salah seorang pengasas kumpulan ‘XPDC’ (1987) yang menggunakan nama ‘Tragedy’ (1985) bersama Eddy Badry dan Izo yang bertindak sebagai gitaris.
Pada 1990 sehingga awal 2000, XPDC yang dianggotai Mael, Izo, Zuar dan Amy berjaya mencatat penjualan album terbaik sehingga melebihi 100,000 unit. Jumlah itu tercatat menerusi jualan album ‘Darjah Satu’ (1990), ‘Timur Barat’ (1992), ‘Kita Peng-Yu’ (1994), ‘Brutal’ (1997) serta beberapa album kompilasi.