top of page

AADK diminta guna data, petakan hotspot tangani ancaman dadah – Saifuddin

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
10 hours ago
2 min read
DS Saifuddin melihat latihan disediakan kepada pelatih di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karak bersama Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
DS Saifuddin melihat latihan disediakan kepada pelatih di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karak bersama Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) digesa memastikan strategi pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan dadah dilaksanakan berasaskan data termasuk melalui pemetaan kawasan ‘hotspot’ bagi membolehkan intervensi dibuat dengan lebih tepat.


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata keperluan itu penting susulan trend penyalahgunaan dadah yang kian serius dengan 75 peratus kes direkodkan sehingga Jun 2026 membabitkan dadah sintetik khususnya methamphetamine dan bahan perangsang jenis amphetamine (ATS).


Lebih membimbangkan, kelompok yang paling tinggi terlibat ialah mereka yang berusia antara 15 hingga 39 tahun, usia produktif yang sepatutnya sedang membina kehidupan, keluarga dan masa depan, kata beliau.


"Mereka yang paling ramai terlibat terdiri daripada kelompok berpendidikan SPM dan ke bawah manakala...kelompok penganggur mencatatkan penglibatan tertinggi diikuti mereka yang bekerja sendiri dan sektor swasta.


"Sebab itu saya telah meminta AADK memastikan strategi pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan kita benar-benar data-driven termasuk melalui pemetaan kawasan hotspot supaya intervensi dapat dibuat dengan lebih tepat," katanya dalam hantaran di Facebook.


Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Membina, Meroboh dan Menaik Taraf Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karak bersama Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.


Saifuddin berkata ancaman dadah kini tidak lagi boleh dilihat sebagai masalah individu atau keluarga semata-mata kerana kesannya turut menjangkau aspek keselamatan dan masa depan negara.


Jelas beliau, data sehingga Jun 2026 menunjukkan kadar nasional penyalahgunaan dadah dan bahan ialah 381 orang bagi setiap 100,000 penduduk.


Terengganu mencatat kadar tertinggi iaitu 735 orang bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Kelantan sebanyak 694, Kedah (669) dan Perlis (646), ujarnya.


Justeru itu, Saifuddin berkata kemudahan pusat pemulihan seperti PUSPEN Karak tidak seharusnya dilihat sebagai projek fizikal semata-mata, sebaliknya menjadi sebahagian daripada ekosistem pemulihan bersepadu.


Kata beliau projek berkenaan melibatkan pelaburan keseluruhan RM68 juta dengan kapasiti 500 orang, selain menyediakan kemudahan rawatan, detoksifikasi, kaunseling serta latihan vokasional.


Antara latihan yang disediakan termasuk kemahiran kimpalan, jahitan dan pertanian bagi membantu penghuni membina kemahiran yang boleh digunakan selepas tamat menjalani program rawatan dan pemulihan, ujar beliau.


Saifuddin berkata pendekatan pemulihan perlu melangkaui usaha memastikan seseorang berhenti daripada mengambil dadah malah turut memberi mereka kemahiran, pekerjaan dan keupayaan untuk kembali menjalani kehidupan secara bermaruah serta berdikari.


"Kita bukan sekadar membina bangunan. Kita sedang membina semula kehidupan," katanya.


"Di bengkel kimpalan, saya melihat sendiri para penghuni menjalani latihan kemahiran. Bagi saya, inilah antara gambaran sebenar makna pemulihan. Kita bukan sekadar mahu seseorang berhenti daripada dadah.


"Kita mahu mereka mempunyai kemahiran, pekerjaan dan keupayaan untuk kembali menjalani kehidupan secara bermaruah dan berdikari selepas menamatkan program rawatan dan pemulihan."


Beliau berkata pendekatan kerajaan terhadap masalah penyalahgunaan dadah turut berubah menerusi pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 [Akta 283].


Melalui pindaan itu, individu yang tampil secara sukarela diberikan laluan untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan tanpa dilayan sebagai penjenayah.


Katanya sejak pindaan berkenaan berkuat kuasa pada 22 Ogos 2025, semakin ramai individu tampil secara sukarela bagi mendapatkan rawatan.


Saifuddin berkata usaha menangani ancaman dadah memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan tidak boleh dipikul Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau AADK secara bersendirian.


"Perjuangan melawan dadah tidak boleh dilakukan oleh KDN atau AADK secara bersendirian. Ia memerlukan tekad politik, dasar berasaskan data, fasiliti yang baik, peluang pekerjaan serta kerjasama seluruh masyarakat," katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page