96 pelajar cemerlang seluruh Hulu Selangor diraikan
- Suara Keadilan
- Jul 20
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Seramai 96 orang pelajar cemerlang dari seluruh daerah Hulu Selangor telah diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2024 yang diadakan di Dewan Orang Ramai, Serendah pada Sabtu.
Penyelaras DUN Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, penganjuran majlis ini bertujuan menghargai usaha gigih para pelajar yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM, selain menyuntik semangat untuk mereka terus melangkah jauh dalam bidang akademik dan kehidupan.
"Program ini adalah hasil kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, Pusat Khidmat Rakyat DUN Batang Kali, serta disokong oleh Ahli Majlis yang sentiasa komited terhadap kecemerlangan pendidikan anak-anak Hulu Selangor," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.
Majlis diserikan dengan kehadiran Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan yang menyampaikan sijil penghargaan dan sumbangan kepada pelajar-pelajar cemerlang.
Sementara itu Saifuddin menegaskan bahawa kejayaan para pelajar tidak hanya disumbang oleh usaha individu, tetapi juga hasil sokongan padu daripada ibu bapa dan dedikasi tinggi para guru yang menjadi tunjang utama sistem pendidikan di daerah ini.
Justeru beliau menyatakan komitmen pihaknya untuk memberi sokongan terbaik untuk memperkasa pendidikan untuk memastikan lebih banyak kejayaan bakal dilakar pada masa hadapan.
"Tahniah kepada semua penerima anugerah – teruskan melakar kejayaan. Hiduplah seperti kita akan mati esok hari, belajarlah seperti kita akan hidup selamanya", katanya memetik kata-kata inspirasi tokoh terkenal, Mahatma Gandhi.
留言