90 peratus syor pemulihan TH dilaksana bukan alasan untuk “move on”


Penemuan dalam laporan berkaitan Tabung Haji tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang boleh ditutup begitu sahaja selepas sebahagian besar syor pembaikan dilaksanakan, sebaliknya pihak yang bertanggungjawab terhadap kerugian dan kelemahan tadbir urus perlu terus dipertanggungjawabkan.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin (gambar) berkata kira-kira 90 peratus syor yang terkandung dalam laporan berkaitan Tabung Haji telah dilaksanakan, sekali gus menunjukkan usaha pembetulan terhadap kelemahan yang dikenal pasti.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan syor tersebut tidak bermakna persoalan mengenai kerugian, salah laku dan keputusan pengurusan pada masa lalu boleh diketepikan.
"Walaupun orang kata sudah beberapa tahun berlalu, kita telah laksanakan 90 peratus cadangan dan syor dalam laporan ini.
"Tetapi itu bukan bermaksud kita boleh terus move on," katanya pada sesi ceramah kelompok “RCI Tabung Haji” di PPR Desa Rejang, Setapak, semalam.
Menurut Dr Abu Hafiz, perkara paling penting ialah memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau salah laku yang dibuktikan melalui siasatan dan laporan berkenaan tidak terlepas begitu sahaja.
"Kalau terbukti ada kesalahan, orang yang bertanggungjawab mesti dipertanggungjawabkan dan dihukum mengikut undang-undang. Kita tidak boleh berhenti hanya kerana pembaharuan sudah dibuat," katanya.
Beliau berkata, persoalan utama yang perlu dijawab ialah siapa yang akhirnya menanggung beban sekiranya kerugian berbilion ringgit berlaku dan tiada tindakan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.
"Persoalannya, kalau berbilion ringgit hilang atau rugi, siapa yang tanggung? Kalau tiada siapa yang bertanggungjawab, akhirnya siapa yang membayar harga daripada semua keputusan itu?" katanya.
Dr Abu Hafiz yang juga bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata wang yang diuruskan Tabung Haji bukan jumlah kecil, sebaliknya melibatkan simpanan jutaan pendeposit.
Berdasarkan rekod 2025 yang dirujuk beliau, Tabung Haji mempunyai sekitar 9.7 juta pendeposit dengan jumlah dana kira-kira RM93.4 bilion, meningkat berbanding kedudukan sekitar RM73 bilion pada 2019 sebelum susut kepada kira-kira RM69 bilion.
Katanya, buat masa ini peningkatan jumlah dana dan pendeposit pada masa kini merupakan perkembangan positif, tetapi ia tidak sepatutnya menghapuskan keperluan untuk meneliti bagaimana kerugian dan keputusan pelaburan pada masa lalu berlaku.
Beliau turut membangkitkan isu pembayaran hibah atau agihan keuntungan dengan menegaskan bahawa pembayaran sepatutnya bersandarkan keuntungan sebenar dan bukannya menggunakan modal atau wang deposit pendeposit.
Menurutnya, laporan berkenaan turut memperlihatkan keperluan memperkukuh struktur tadbir urus Tabung Haji, termasuk pemisahan yang lebih jelas antara fungsi pentadbiran agama dengan pengurusan kewangan serta penglibatan kepakaran kewangan yang sesuai.
"Ini harta berpuluh-puluh bilion ringgit, bukan harta sejuta. Sebab itu pengurusan kewangan dan tadbir urus mesti mempunyai kepakaran serta semak dan imbang yang kuat," katanya.
Dr Abu Hafiz turut merujuk kepada beberapa contoh pelaburan dan urus niaga yang menimbulkan persoalan, termasuk pelaburan yang mengalami kerugian besar, transaksi aset di luar negara serta pembayaran pendahuluan dalam urusan hotel di Arab Saudi.
Katanya, antara persoalan yang perlu diberikan perhatian ialah bagaimana keputusan komersial sedemikian dibuat, apakah justifikasinya dan siapa yang bertanggungjawab apabila keputusan tersebut akhirnya menyebabkan kerugian.
"Ini bukan soal mahu menghukum sesiapa tanpa bukti. Kalau ada kesalahan, siasat. Kalau terbukti bersalah, ambil tindakan.
"Tetapi kita tidak boleh biarkan kerugian berbilion ringgit berlalu begitu sahaja tanpa ada pertanggungjawaban," katanya.
Beliau berkata reformasi yang telah dilaksanakan perlu diteruskan dengan prinsip akauntabiliti, ketelusan dan pertanggungjawaban, supaya kelemahan yang berlaku sebelum ini tidak berulang.
"90 peratus syor sudah dilaksanakan itu satu perkara yang baik. Tetapi 90 peratus pembaikan bukan bermakna 100 peratus persoalan sudah terjawab. Kita masih perlu tahu siapa yang bertanggungjawab dan bagaimana kerugian itu berlaku," katanya lagi.




Comments