9,528 kes pendaftaran lewat kelahiran direkodkan sepanjang 2025
- Suara Keadilan
- 1 hour ago
- 1 min read

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan sebanyak 9,528 kes pendaftaran lewat kelahiran direkodkan di seluruh negara sepanjang tahun lepas.
Menurutnya, kebanyakan kes berpunca daripada kekurangan pengetahuan mengenai undang-undang. Antaranya perkahwinan tidak didaftarkan yang memberi implikasi besar kepada anak-anak apabila kelahiran mereka turut tidak didaftarkan.
"Keadaan itu menyukarkan akses mereka kepada pendidikan, rawatan kesihatan dan kemudahan asas lain.
"Anak-anak ini tidak bersalah, tetapi terpaksa membesar di luar arus perdana," katanya dipetik.
Saifuddin berkata begitu kepada pemberita selepas hadir menyerahkan sijil kelahiran kepada seorang bayi berusia satu tahun empat bulan di kediaman keluarga tersebut di Bandar Sungai Buaya, Hulu Selangor pada Selasa.
Baru-baru ini, tujuh beradik berusia 17 hingga 30 tahun termasuk ibu kanak-kanak terbabit menerima sijil kelahiran dan kad pengenalan pendaftaran lewat susulan daripada perkahwinan ibu bapa mereka tidak didaftarkan.
Sementara itu, Saifuddin menegaskan, isu pendaftaran lewat perlu ditangani segera walaupun melibatkan angka kecil berbanding populasi negara kerana kesannya besar terhadap masa depan anak-anak.
Di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian, mendaftarkan kelahiran jelasnya adalah tanggungjawab ibu bapa dan sesiapa yang mengetahui mengenai kelahiran itu.
Saifuddin turut menjelaskan komitmen kerajaan melaksanakan pendekatan turun padang menerusi inisiatif Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di Sabah dan Sarawak bagi menangani isu pendaftaran.
Program itu menyasarkan kawasan pedalaman, rumah panjang dan penempatan sukar diakses bagi mengesan individu tanpa dokumen pengenalan diri.
"Melalui MEKAR, pegawai JPN digerakkan ke kampung-kampung dan kawasan pedalaman, bukan menunggu rakyat datang ke pejabat," katanya.





