850 pegawai pemantau KPDN pantau harga di 2,170 premis
- Suara Keadilan

- Oct 14
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Seramai 850 pegawai pemantau harga daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) digerakkan setiap hari bagi memantau harga barangan di 2,170 premis perniagaan seluruh negara merangkumi pasar-pasar, pasar raya, kedai runcit dan pasar mini.
Timbalan Menteri, Senator Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) berkata, pemantauan tersebut meliputi 316 jenis barangan yang diklasifikasikan kepada enam kategori iaitu barangan segar, barangan kering, barangan berbungkus, produk susu dan bayi, produk kebersihan dan minuman.
''Apabila kita paparkan harga itu dalam aplikasi PriceCatcher, maka pengguna boleh membuat keputusan bijak dan ini akan ada kesan terhadap penawaran dan permintaan supaya mereka boleh buat keputusan seperti hendak berbelanja di mana.
''Kedua, KPDN juga menjalankan pemantauan bagi tujuan pemeriksaan dan penguatkuasaan berkaitan pematuhan peniaga terhadap Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
''Pemeriksaan dijalankan secara berkala, proaktif atau berdasarkan aduan oleh seramai 2,475 pegawai penguatkuasa KPDN di seluruh negara,'' katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Datuk Idris Ahmad (PN–Bagan Serai) yang meminta penjelasan mengenai mekanisme pemantauan harga barangan keperluan asas di peringkat nasional, keberkesanan pelaksanaan harga kawalan, serta statistik tindakan penguatkuasaan, termasuk jumlah pemeriksaan yang dilaksanakan dan denda yang telah dikenakan bagi tempoh 12 bulan terakhir.
Mengulas lanjut, Dr Fuziah berkata, penguatkuasaan yang dijalankan kakitangan kementeriannya bukan hanya berbentuk pemeriksaan, tetapi melibatkan risikan dan penyiasatan.
Selain itu katanya, ia juga melibatkan sesi libat urus bersama pihak industri bagi memastikan pematuhan industri terhadap perundangan yang berkuatkuasa.
''Kami juga menetapkan harga kawalan seperti harga siling ke atas beberapa barang keperluan asas seperti gas petroleum, cecair, minyak masak paket bersubsidi, petrol RON 95, diesel dan juga gula,'' ujar beliau yang juga Setiausaha Agung KEADILAN.









Comments