Pelaksanaan fasa satu Program Anak Kita akan memberi manfaat kepada 83,752 murid di seluruh negara.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pelaksanaan program yang bertujuan mengatasi isu keciciran pembelajaran itu akan melibatkan 3,458 sekolah.
Program merangkumi tiga pengisian iaitu Program 3M (membaca, mengira dan menulis), Program Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Program Murid Cicir.
"Untuk Program 3M libatkan 53,252 murid pemulihan khas tahun dua hingga enam daripada Johor, Perak, Selangor, Kelantan, Kedah, Sabah, Sarawak manakala Program SPM di seluruh negara merangkumi 10,000 murid Tingkatan 5 (SPM 2024) serta 20,000 murid Tingkatan 4 (SPM 2025).
"Bagi Program Murid Cicir pula akan melibatkan 500 murid keciciran dari enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak," katanya dipetik.
Terdahulu Fadhlina hadir ke Majlis Pelancaran Program Anak Kita di Sekolah Kebangsaan Rasa di Hulu Selangor pada Jumaat.
Program yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi tayangan video itu turut dihadiri Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Sementara itu Fadhlina menegaskan, isu kemiskinan kekal menjadi naratif utama keciciran anak-anak dalam pelajaran, selain isu sosial.
Justeru Program Anak Kita yang dilaksana dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MoF) itu akan memastikan golongan sasar tidak terus tercicir.
Selain itu beliau memberi jaminan, pelaksanaan inisiatif berkenaan juga tidak menambah beban atau mengganggu warga pendidik kerana dilakukan di luar sesi persekolahan dan dikendalikan oleh tenaga pengajar luar.
"Semua (golongan tumpuan) dalam program ini adalah daripada hasil data yang kita kumpulkan dan mereka akan diberi bantuan sama ada kemudahan tuisyen, pembelajaran bersemuka dan hibrid selain program mentor-mentee" katanya.
Commenti