73 kem ATM, 59 ribu unit RKAT bakal dilengkapi internet gentian optik


Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil turun padang ke Kem Penrissen, Kota Samarahan bagi melihat sendiri perkembangan projek Fibre To The Home (FTTH) untuk Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
Projek berkenaan akan menyediakan sambungan Internet gentian optik kepada 73 kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara, melibatkan sebanyak 59,420 unit RKAT.
Menerusi pakej Internet berkelajuan 100Mbps pada kadar RM49 sebulan, termasuk rebat RM10 bagi tempoh enam bulan pertama langganan, kemudahan itu diharap dapat menyediakan akses Internet yang lebih baik, pantas dan stabil kepada warga ATM serta keluarga mereka.
Di Sarawak, sebanyak sembilan kem ATM menerima manfaat projek berkenaan, melibatkan keseluruhan 3,600 unit RKAT.
Daripada jumlah itu, dua kem telah siap dan beroperasi, iaitu Kem Sri Aman dan Pangkalan Udara Kuching, manakala kem-kem lain masih dalam proses pelaksanaan.
"Lawatan turun padang itu penting bagi memastikan kemajuan projek dipantau secara langsung dan pelaksanaannya berjalan seperti yang dirancang.
"Saya turun padang untuk melihat sendiri kemajuan projek dan memastikan apa yang dirancang benar-benar dilaksanakan seperti yang sepatutnya," kata beliau dipetik laporan media.
Fahmi berharap apabila projek itu siap sepenuhnya, manfaat sambungan Internet berkelajuan tinggi dapat dirasai oleh warga ATM dan keluarga mereka, sekali gus meningkatkan kualiti akses digital di kawasan kem.




Comments