700 pelajar Hulu Selangor terima manfaat program ‘Jom Ke Sekolah’
- Suara Keadilan

- Jan 8
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Seramai 700 pelajar di sekitar Hulu Selangor menerima sumbangan menerusi program kebajikan ‘Jom Ke Sekolah’ yang diadakan semalam.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad, berkata program yang berlangsung di Darul Quran, Kuala Kubu Bharu itu dianjurkan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yayasan Taqwa dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Difahamkan, program berkenaan mensasarkan bantuan kepada 24,000 penerima di seluruh negara.
"Syukur dapat memulakan tahun 2026 dengan menyampaikan kebaikan kepada mereka yang memerlukan. Inilah indahnya apabila amanah diselaraskan dengan penuh hikmah dan tanggungjawab," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu, Saifuddin yang juga Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Hulu Selangor menerusi ucapan perasmian program tersebut turut menitipkan pesanan kepada para pelajar agar memanfaatkan peluang pendidikan sebagai asas membina masa depan yang lebih cerah.
"Pendidikan adalah tiket untuk membina masa depan. Tanamkan azam agar suatu hari nanti, apabila sudah berjaya, anda kembali menyumbang kepada masyarakat," katanya.
Dalam hantaran sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan inisiatif tersebut, termasuk Tuan Kamarul Arifin Mohd Wafa yang memberikan komitmen tinggi dalam menyelaras pelaksanaan program.









Comments