7 skandal besar negara: Mengapa PM Ismail terus membisu? - Anwar
- Suara Keadilan
- May 1, 2022
- 3 min read

Perdana Menteri Malaysia (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang terus membisu enggan menjawab isu skandal besar melanda negara dibidas oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, terdapat tujuh skandal yang menuntut jawapan segera sebagaimana didedahkannya sebelum ini, tetapi satu pun belum dijawab dengan jelas apakah tindakan kerajaan Malaysia.
"Saya bantah sikap PM yang kelihatan lesu dan mengenepikan semua kritikan serta isu isu berbangkit menuntut penjelasan dan jawapan, kerana kita mahu pimpinan itu memberi arah menunjukkan keupayaan dan kewibawaan memimpin negara, dan cuba menyelesaikan masalah.
"Umpamanya soal badan kehakiman. Kita tak pertikai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mempunyai kuasa tetapi prinsip Perlembagan itu adalah menjamin kebebasan badan kehakiman dan badan kehakiman mempunyai mekanisme, kaedah menyelesaikan masalah sekiranya berbangkit.
"Kalau kita beri kebebasan begini (siasatan SPRM), hakim yang memutuskan sesuatu keputusan itu akan berdepan dengan tekanan politik. SPRM di bawah PM. Badan kehakiman itu bebas. Jadi saya ingin mendapat satu kenyataan tegas dari PM apakah kecelaruan yang berlaku hari ini, mempertikai kedudukan hakim hakim yang berwibawa akan terus berlaku tanpa pengawasan?
"Julung kali Ketua Hakim Negara membuat kenyataan dan disanggah oleh Ketua SPRM. Negara ini jadi celaru dan kita masih menunggu satu kenyataan tegas. Nak pertahan badan kehakiman atau tidak? Itu soalan saya kepada PM Ismail Sabri," katanya dalam siaran media petang semalam.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menimbulkan isu yang tidak kunjung selesai berkaitan 1Malaysia Development Berhad.
Isu tersebut katanya panas semula dengan perbicaraan beberapa pegawai kewangan di Amerika Syarikat yang jelas menggelapkan dana rakyat Malaysia. Namun malangnya, kata Anwar, tiada susulan tindakan oleh pihak berkuasa di negara ini, di mana tempat skandal itu mula tercetus.
"Kita mahu siapa yang bertanggungjawab. SPRM harus cepat dan pantas menyemak hal hal ini. Apakah perlu pendakwaan tambahan atau tangkapan lain, saya serahkan kepada kewibawaan SPRM.
"Tetapi tidak munasabah bagi negara yang merdeka dan berdaulat menyerahkan kepada kewibawaan di luar negara dan mendapat hanya keterangan seperti banglo di London, bangnan dan lukisan di Amerika. Negara kita seolah olah bukan negara hukum," katanya.
Begitu juga soal komisyen kapal selam Scorpene yang dibeli dari pihak Perancis. Datuk Seri Anwar berkata, apabila kes tersebut didakwa di mahkamah Paris maka pihak berkuasa Malaysia, yang mana kes itu bermula, perlulah membuka siasatan siapakah yang terlibat bersubahat melakukan rasuah di sini.
"Isu penjualan kapal selam kami bangkitkan dengan keras (di Parlimen tetapi) diketepikan oleh BN masa itu, bahawa pembelian kapal selam dari Perancis berlaku rasuah. Tetapi dijawab kerajaan sebagai bayaran komisyen sekitar 1 juta Euro, melibatkan beberapa nama.
"Sekarang syarikat Thales didakwa di Paris. Seolah olah kita di sini yang berjawatan besar kebal sehingga dibangkitkan di Paris.
"Tidak bolehlah disebut perkara lama kerana sekarang pendakwaan berlaku di Perancis. Terkait perkara ini adalah komisyen yang dituntut oleh Altantuya (yang mati dibunuh).
"Siasat, saya tidak menghukum. Oleh itu badan siasatan kita yang melibatkan siasatan jenayah, SPRM, Bank Negara Malaysia, LHDN harus berperanan menyelamatkan negara dari kebobrokan ini," katanya.
Pengerusi Pakatan Harapan itu juga menimbulkan beberapa isu lain seperti cadangan penyelamatan Sapura Energy Berhad, kedudukan aplikasi MySejahtera yang data peribadi rakyat Malaysia dikumpul oleh syarikat berpengkalan di Singapura sehingga kepada kontroversi Seba Dinamik yang didenda oleh Surhanjaya Sekuriti (SC) dan dipertikai. Juga perletakan jawatan pengerusi SC dan beberapa pengurus kanan lain yang tidak ada penjelasan dari pihak kerajaan.
Anwar juga tidak senang dengan kecenderungan kerajaan untuk terus meluluskan projek baharu seperti pembinaan kapal tentera laut tanpa menyelesaikan skandal dan kerugian dalam perolehan kapal terdahulu.
"Juga rancangan 5G negara yang saya sebut, kalau tak kawal sekarang dengan cara cukup telus ia berpotensi menjadi 1MDB kedua
"(Dalam banyak hal) tidak ada kesungguhan pihak kerajaan menangani masalah kemiskinan, pengangguran dan harga barang.
"Yang nak direbut projek 5G, kapal selam, MRT. Ini direbut dan mencurigakan, mengapa mati matian nak menyegerakan projek ini? Sebab pengalaman lalu, kapal selam Perancis komisyennya RM100 juta Euro. Ini yang dipertikaikan rakyat," sinis Anwar.
Comments