63 tahun mundur, mana agenda bela Melayu PN?



Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berbangga kononnya telah menyelamatkan Melayu dari DAP dan berjanji untuk memajukan kaum itu lebih daripada mana-mana kerajaan yang pernah memerintah Malaysia.


Bagi Koordinator Gabungan Reformis Malaysia (GRM), Mustaffa Kamil Ayub, PN tidak harus beretorik tetapi perlu segera membuktikan pembelaan mereka ke atas Melayu dengan mewujudkan beberapa skim atau program khas untuk membantu kaum tersebut.


"Setelah lebih 63 tahun merdeka, kelihatannya kedudukan orang Melayu masih ketinggalan dalam pelbagai sektor, walaupun adanya hak istimewa Melayu, tanah rizab Melayu, kuota Bumiputra serta Dasar Ekonomi Baru (DEB). Di mana silapnya? Siapa yang harus dipersalahkan? Siapa yang bertanggungjawab dalam hal ini?


"Justeru, GRM menyeru agar Kerajaan Persekutuan di bawah PN yang melaungkan slogan membela Melayu mesti segera mengemukakan pelan-pelan konkrit serta agenda-agenda sistematik dalam perkara ini," kata Mustaffa dalam satu kenyataan.


Menurut beliau lagi, agenda Melayu tidak sewajarnya dijadikan mainan politik atau propaganda menyokong sesuatu pemerintahan. Sedangkan majoriti kaum itu kesempitan hidup sejak era BN.


Katanya, PN mesti membuktikan perjuangan 'menaikkan martabat Melayu' bukan untuk agenda politik perkauman seperti yang dilakukan BN sebelum ini


"Orang Melayu majoriti atau lebih 60% serta merupakan penduduk asal negara ini. Kestabilan sosio-ekonomi-politik kelompok ini akan menjamin kestabilan keseluruhan rakyat Malaysia.


"GRM dalam hal ini berpandangan proses (memartabatkan Melayu) ini mestilah tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak atau diekploitasi menjadi isu perkauman sama ada dalam kalangan orang Melayu atau bukan Melayu," katanya lagi.


Namun menurut Mustaffa, sekiranya agenda membela Melayu mahu dipolitikkan atau menemui kegagalan sebagaimana DEB yang diperkenalkan pada era 1970an lalu maka lebih baik dilaksanakan dasar yang lebih menyeluruh.


Katanya, agenda ekonomi untuk semua tetapi tidak meminggirkan Melayu sebagaimana yang dicadangkan oleh KEADILAN adalah lebih sesuai diamalkan dalam era globalisasi bagi menjadikan Melayu kaum yang ampuh bersaing di pentas dunia.


"GRM berpandangan membela kelompok tertinggal sama ada orang Melayu, Kadazan, Dayak, Cina, India dan seumpamanya mesti dibuat secara adil tanpa ketirisan, tiada penyelewengan, rasuah, pembaziran atau pembolotan.


"Untuk itu GRM menyeru kepada pembinaan Malaysia Baharu tanpa mencabut akar dan asas yang ada. Malaysia Baharu juga sewajarnya terbina sebagaimana asas dalam pembinaan Masyarakat Madani Madinah iaitu aqidah, ilmu, akhlak, adab, kerohanian dan dakwah.


"Membina Malaysia Baharu juga serentak memakmurkan serantau serta model globalisasi manusiawi yang pernah dilakukan dalam pengalaman pembinaan insan dalam tamadun Islam," katanya.


GRM merupakan gabungan 10 pertubuhan reformasi untuk menggerakkan perubahan total ke atas masyarakat Malaysia.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio