'60 tahun, 33 bulan memerintah, tak dengar perlu penyatuan Melayu-Islam'
- Sidiqin Omar

- 1 hour ago
- 2 min read

Ungkapan perlunya orang Melayu bersatu di belakang beberapa parti tertentu tidak kedengaran sewaktu UMNO atau Pas sedang berkuasa di Putrajaya.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Ustaz Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, isu berkenaan hanya timbul apabila tiba waktu Pilihan Raya Negeri Johor.
"Dahulu lebih 60 tahun memerintah (UMNO), kemudian memegang kuasa di Putrajaya selama 33 bulan (Pas), ketika itu tidak pula kedengaran seruan penyatuan Melayu-Islam seperti yang dibangkitkan hari ini.
"Jangan jadikan kaum dan agama sebagai bahan dagangan politik. Apabila hilang kuasa, barulah isu bangsa dan agama dijadikan modal untuk meraih sokongan," katanya dalam ucapan pada program Siri Jelajah "Johor Ke Depan, Undi Harapan" di Simpang Renggam, malam tadi.
Selain itu, Abu Hafiz turut menempelak dakwaan sesetengah pihak bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak memperjuangkan agama Islam dan hak bangsa Melayu. Beliau menganggap tuduhan seumpama itu amat berat dan perlu dijawab agar tidak terus dipercayai rakyat.
"Persoalan siapa yang benar-benar memartabatkan agama dan bangsa bukan ditentukan oleh nama parti atau slogan yang dilaungkan, tetapi melalui tindakan dan dasar yang dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata, Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW mengajar umatnya mendahulukan keamanan, kebajikan dan persaudaraan tanpa mengira kaum atau agama.
Mengulas sebuah hadis mengenai ketibaan Rasulullah SAW di Madinah, Abu Hafiz menjelaskan ucapan pertama baginda bermula dengan seruan "Wahai manusia", bukannya khusus kepada orang Islam, sekaligus menunjukkan bahawa Islam membawa mesej sejagat kepada seluruh masyarakat.
"Islam mengajar kita menyebarkan salam, iaitu menyebarkan kesejahteraan dan keselamatan. Islam juga mengajar supaya memberi makan kepada orang yang lapar, menyambung silaturahim dan memperkukuhkan hubungan sesama manusia. Itulah Islam yang sebenar," katanya.
Beliau menegaskan bahawa masyarakat majmuk seperti di Johor perlu dibina atas asas keharmonian antara Melayu, Cina, India dan kaum lain sebagaimana pendekatan yang ditunjukkan Rasulullah SAW di Madinah.
Abu Hafiz juga mendakwa terdapat percanggahan antara retorik dan tindakan sesetengah pihak yang mengaku memperjuangkan Islam, namun ketika memerintah telah membuat keputusan yang bertentangan dengan semangat perjuangan tersebut.
Beliau berkata, pendekatan Pakatan Harapan adalah menawarkan dasar yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa meminggirkan mana-mana kaum, selaras dengan nilai Islam yang menitikberatkan keadilan dan kebajikan.
Katanya, manifesto Pakatan Harapan Johor yang dilancarkan mengandungi pelbagai inisiatif termasuk perlindungan kesihatan sehingga RM100,000, bantuan rumah pertama RM8,000, dana pembangunan belia RM500,000, skim pemilikan rumah rent-to-own serta usaha mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih bermaruah.
"Manifesto ini adalah bukti bahawa memperjuangkan Islam bukan sekadar bercakap soal slogan, tetapi memastikan rakyat mendapat kehidupan yang lebih baik, kebajikan terbela dan peluang ekonomi yang adil," katanya.
Beliau turut menyeru para penyokong supaya memainkan peranan menyampaikan penjelasan kepada masyarakat serta mengajak pengundi pulang mengundi calon-calon Pakatan Harapan pada hari pengundian 11 Julai nanti.




Comments