Syarikat telekomunikasi (telco) telah mendapat keuntungan yang luar biasa besar sepanjang puluhan tahun lalu tetapi perkhidmatan internet yang diberikan dianggap kurang memuaskan selama berurusan dengan kerajaan terdahulu.
Sehubungan itu, strategi Kerajaan Madani dalam spektrum 5G ketika ini ialah mendesak telco melabur lebih banyak bagi pengguna menikmati ketersambungan dan kualiti perkhidmatan yang lebih baik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Tambun) menjelaskan demikian dalam sesi pertanyaan Perdana Menteri menjawab soalan Ahli Parlimen Rodziah Ismail (PH - Ampang) di Dewan Rakyat, pagi tadi.
"Pada 3 Mei 2023 kerajaan membuat keputusan untuk meneruskan perlaksanaan 5G beralih daripada single wholesale network kepada model dwirangkaian atas beberapa justifikasi, iaitu meningkatkan persaingan, menamatkan unsur monopoli yang dikaitkan dengan Digital Nasional Berhad (DNB), menawarkan kepelbagaian rangkaian dan mengatasi isu kegagalan tunggal dalam model single wholesale network.
"Peralihan ini keputusan yang sukar kerana kita mendapat tekanan pelbagai pihak yang mahu mengekalkan satu rangkaian dan tidak senang dengan sikap Malaysia yang lebih bebas memilih rangkaian yang dikehendaki sama ada di barat atau di timur.
"Keputusan Jemaah Menteri akhirnya untuk keselamatan negara dan kebebasan kita memilih dengan syarat yang ketat, iaitu meletakkan syarat semua telco menggunakan rangkaian DNB, struktur yang ada sehingga siap 80% rangkaian, kemudian mempastikan ketersambungan itu dijalankan termasuk di desa pendalaman.
"Implikasi kepada kerajaan pula kurang besar kerana penglibatan (pelaburan) telco. Harga kepada pengguna mesti di paras rendah di bawah peraturan DNB. Akhirnya peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana pengawasan sangat terbatas sekarang. Peraturan dan undang undang akan diperkemas supaya SKMM dapat menawal dengan lebih berkesan," katanya.
Manakala menjawab soalan tambahan Ampang, apakah rangkaian kedua hanya akan berkongsi 20% baki kuota DNB dan apakah akan meningkatkan kos kepada pengguna, PM berkata perjanjian antara syarkat telco dan kerajaan kali ini ketat dan tidak seharusnya telco melanggar syarat.
"Pengalaman kita puluhan tahun dengan telco tidak memberansangkan. Pertama isu ketersambungan, kedua isu keselesaan kepada pengguna. Ketiga soal kos bayaran kepada pengguna
"Sebab itu syarat ketat oleh SKMM agar hal ini diambil perhatian. Maknanya perjalanan 80% awal dibiayai kerajaan itu (DNB)ditanggung bersama DNB dan telco.
"Kedua syarat itu tidak boleh dilanggar. Jika dilanggar perjanjian ini akan terbatal. Sebab itu dalam kes 4G sekarang ini sangat tidak memuaskan kerana pengguna tidak beroleh manfaat walaupun syarikat telco catat keuntungan sangat besar. Jadi hal ini akan dipantau oleh SKMM," katanya lagi.
Comments