5 teras manifesto calon PH N48 DUN Sentosa
- Redzuan Shamsudin
- Aug 4, 2023
- 2 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) untuk N48 DUN Sentosa, Dr Gunaraj George menyenaraikan 5 teras dalam manifestonya sempena Pilihan Raya Negeri Selangor kali ini.
Teras pertama, katanya, adalah pembangunan insfrastruktur yang di dalamnya terkandung tiga janji termasuk peningkatan usaha pengurusan banjir.
"Walaupun saya telah memberi tumpuan dalam strategi pengurusan banjir, saya akui keperluan untuk penambahbaikan selanjutnya. Saya akan berusaha menaik taraf sistem perparitan untuk menampung isipadu air yang lebih besar, meningkatkan kapasiti sungai untuk mengendalikan aliran keluar pantas dan membina kolam tadahan tambahan untuk mengelakkan banjir.
"Tumpuan kami menaik taraf kemudahan awam pula akan diperluaskan termasuk pembangunan taman awam baharu, laluan pejalan kaki, perhentian bas dan lampu jalan. Saya juga berusaha menangani jalan berlubang dan pelebaran jalan untuk meningkatkan keselamatan dan keselesaan jalan raya secara keseluruhan untuk penduduk DUN Sentosa.
"Dalam "Aspirasi Bandar Sentosa" pula saya komited untuk membangunkan bandar Sentosa menjadi perbandaran moden melibatkan kerja infrastruktur, menjajarkan semula sistem saliran dan merancang pembesaran parit untuk memastikan ia selaras dengan piawaian bandar," katanya.
Makanala dalam teras kedua, inisiatif "Clean & Green", manifesto PH DUN Sentosa menawarkan meningkatkan kebersihan dan kehijauan persekitaran. PH akan memperkenalkan program menanam lebih banyak pokok dan mewujudkan Kebun komuniti, terutamanya di kawasan seperti Jalan Kebun Nenas, Bukit Tinggi, Kg Jawa dan Botanik untuk menggalakkan komuniti yang lebih sihat dan sejahtera

Sementara itu, dalam teras ketiga PH DUN Sentosa menawarkan untuk memperkasa program pendidikan dengan memfokuskan kepada Program Trek Pendidikan menerusi Sinar Ilmu Harapan Sentosa.
"Program ini menawarkan Kelas Intervensi Awal percuma untuk memastikan setiap murid darjah 1 sekolah rendah memperolehi asas yang kukuh dalam literasi.
"Memberi bimbingan kepada pelajar SPM dan STPM melalui sesi kaunseling kelompok dalam persediaan perjalanan pendidikan, dengan harapan dapat membantu mereka meneroka laluan akademik yang membawa kepada masa depan yang cerah," katanya.
Dr Gunaraj juga komited untuk membasmi kemiskinan melalui program peningkatan kemahiran, memupuk penyertaan, dan menyediakan bantuan yang diperlukan melalui inisiatif Kerajaan Negeri atau Persekutuan
"Saya akan melaksanakan pemantapan sumber pendapatan. Melalui komitmen ini punca pendapatan penduduk akan ditingkatkan dengan menggalakkan aliran pendapatan kedua dan peluang menjana pendapatan.
"Ini akan melibatkan penerokaan pelbagai saluran seperti latihan vokasional, program keusahawanan, dan menghubungkan orang ramai dengan peluang menjana pendapatan yang berkait," katanya.
Kelima, penyandang DUN Sentosa itu menawarkan untuk membuka Hab Perniagaan bagi Pengembangan Ekonomi Sentosa.
Menyedari potensi lokasi DUN Sentosa berhampiran dengan pelabuhan dan kawasan industri, katanya, beliau menawarkan mewujudkan peluang pekerjaan dan ekosistem perniagaan yang berkembang maju.
"Ini termasuk mewujudkan inkubator perniagaan dengan ruang kongsi, sokongan logistik untuk memanfaatkan peluang yang wujud hasil daripada pengembangan Pelabuhan Klang, dan menyediakan bimbingan dan pemantauan pelesenan untuk menyokong usahawan tempatan," katanya lagi.
Comentários