5,000 peserta hadiri majlis Sama' hadis antarabangsa di Masjid Putra


Kira-kira 5,000 peserta membanjiri Masjid Putra, Putrajaya bagi menyertai Majlis Sama' Hadis Jami' At-Tirmidhi dan Al-Syamā'il al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 yang bermula 13 November lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, program berkenaan menghimpunkan ribuan pencinta ilmu, ulama dan ilmuwan dari dalam serta luar negara.
Menurutnya, penyertaan bukan sahaja melibatkan peserta dari seluruh negara, malah turut disertai delegasi antarabangsa termasuk dari Singapura, India, Indonesia, Brunei, China, Thailand, Oman, Bangladesh dan Jepun.
Beliau berkata, penganjuran majlis ilmu bertaraf antarabangsa itu menjadi platform penting dalam memperluas penghayatan serta penguasaan ilmu hadis dan sunnah Rasulullah SAW.
"Saya turut menyaksikan prapelancaran terjemahan kitab Sahih al-Bukhari 2.0 bagi memperluas akses masyarakat kepada khazanah ilmu hadis," katanya dalam kenyataan di media sosial.
Program yang berlangsung dari 13 hingga 23 November itu merangkumi pengajian kitab Jami' At-Tirmidhi pada 14 hingga 20 November, diikuti pengajian Al-Syamā'il al-Muhammadiyyah pada 21 dan 22 November.
Dr Zulkifli berkata, penganjuran kali ini meneruskan kesinambungan Majlis Sama' Hadis Sahih al-Bukhari pada 2024 dan Sahih Muslim pada 2025.
Kemuncak program pada 23 November ini ialah Majlis Khatam Sama' Hadis yang bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi syarahan perdana.
Majlis itu turut menyaksikan pengijazahan oleh Al-Allamah Sheikh Abu Bakar bin Ahmad Al-Malibari, Mufti Besar India.
Dalam pada itu, Dr Zulkifli merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri serta Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Bukhari Centre dan semua pihak yang menjayakan program berkenaan.
Beliau berkata, usaha memperkasa pengajian hadis dan sunnah perlu diteruskan bagi memastikan khazanah ilmu Islam dapat diakses serta dimanfaatkan oleh masyarakat secara lebih meluas.




Comments