Jentera pilihanraya KEADILAN diminta untuk bekerja keras bagi memastikan Kedah dapat ditawan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos ini.
Berucap dalam majlis pelancaran jentera pilihanraya DUN Gurun semalam, Penyelaras DUN, Firdaus Johari (gambar, kiri sekali) berkata berdasarkan tinjauan semasa di kebanyakan DUN, pengundi Atas Pagar akan menjadi penentu kemenangan dan merekalah yang membentuk gelombang hijau pada Pilihan Raya Umum lalu.
Katanya di sesetengah DUN, pengundi yang belum membuat keputusan sehingga 40% daripada jumlah keseluruhan dan Kerajaan Perpaduan berpotensi menang sekiranya mendapat sokongan mereka.
"Di luar mereka habaq (PN) ada gelombang hijau. Mereka kata dok kuat. Dapatan di luar sana yang belum buat keputusan 40%. Bermakna pengundi Kedah yang Atas Pagar ramai.
"Mereka nak tengok siapa calon, siapa bantu mereka. PN kata mereka boleh dapat 33 kerusi tetapi di pihak mereka banyak yang tak selesai.
"Saya nak maklumkan DUN Gurun dan parlimen Jerai merupakan yang paling awal kita selesai masalah, semua jawatankuasa dengan Perpaduan," katanya.
Beliau juga memotivasi jentera pilihanraya Gurun dengan membandingkan sifat kuat bekerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sehingga larut malam masih berceramah atau mengadakan mesyuarat.
"Untuk PM kita Datuk Seri Anwar, boleh tengok, malu kita kalau kita bekerja tidak lebih daripada beliau. Beliau umur 70 lebih, kerja siang malam. Kita ada tenaga dan kesihatan yang baik. Kita mulakan gerak kerja kita," katanya.
Buat DUN Gurun pula, Firdaus menyerahkan kepada rakyat untuk memilih berdasarkan khidmat yang telah beliau lakukan sejak 5 tahun lalu.
Katanya, di Gurun beliau lebih banyak bekerja berbanding beretorik.
"Politik mai tiap 5 tahun sebab itu di DUN Gurun kita kurang bercakap, kita lebih bekerja.
"Menariknya di Gurun, pusat khidmat beroperasi membantu tanpa mengira fahaman politik. Kalau makcik berniaga sayur tak ada parti pun, selagi dia susah, bernama insan, perlukan bantuan, di situlah akan hadirnya pasukan pusat khidmat DUN Gurun membantu," katanya lagi.
Opmerkingen