40% hasil Sabah: Kerajaan Madani laksana MA63 dengan berani, berprinsip
- Suara Keadilan

- Nov 12
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Keputusan Kerajaan Persekutuan semalam untuk tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas 40 peratus hasil Sabah menandakan permulaan kepada pemulihan keadilan fiskal yang telah dinantikan hampir lima dekad oleh rakyat negeri itu.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud (gambar) berkata, keputusan tersebut juga membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam menghormati semangat dan roh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar di atas kertas, tetapi diterjemah dalam bentuk tindakan berani dan berprinsip.
"KEADILAN Sabah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri serta barisan Jemaah Menteri kerana membuat keputusan yang berlandaskan prinsip keadilan dan persekutuan sejati.
"Tindakan ini memperkukuh keyakinan rakyat Sabah bahawa kepimpinan PMX (Datuk Seri Anwar) benar-benar memahami denyut nadi dan perjuangan rakyat Sabah untuk mendapatkan hak yang telah sekian lama dinafikan," katanya dalam satu kenyataan.
Ujar Mustapha, pihaknya turut menyambut baik satu lagi keputusan Kerajaan Persekutuan iaitu untuk memulakan rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah secara segera usai Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah (PRN17) demi memastikan pelaksanaan mekanisme pengagihan 40% hasil tersebut dapat dijalankan secara adil, telus dan mengikut lunas undang-undang.
Justeru katanya, KEADILAN Sabah menyeru agar rundingan itu dilaksanakan dengan semangat kerjasama dan keikhlasan antara kedua-dua kerajaan tanpa sebarang permainan politik atau kepentingan sempit.
"Apa yang penting ialah memastikan hasil Sabah benar-benar kembali untuk pembangunan wilayah dan kesejahteraan rakyatnya.
"Langkah ini juga menutup lembaran panjang ketidakpastian sekali gus membuka era baharu hubungan Persekutuan–Sabah yang lebih matang, saling menghormati dan berasaskan prinsip keadilan dalam perkongsian hasil mahsul negara," katanya lagi.









Comments