Bekas ADUN-ADUN melaka yang menarik sokongan terhadap pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali kini meletakkan nasib politik mereka di tangan Pakatan Harapan (PH).
Menurut bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron di majlis PH malam tadi, beliau dan tiga lagi ADUN diibaratkan sebagai 'orang mendatang' yang mungkin diterima atau pun tidak.
Oleh itu, katanya, nasib dan hayat politik mereka kini bergantung sepenuhnya kepada PH menuju Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November ini.
"Saya dan rakan-rakan bagai ‘orang mendatang’, kami tidak mahu jadi `melukut di tepi gantang, masuk tak menambah, keluar tak berkurang’.
"Kami faham parti ini sudah ada orang (calon PRN). Kami tidak mahu berbicara mengenainya, kami serahkan nasib kami kepada PH Melaka dalam PRN akan datang,” katanya dipetik.
Meskipun mengakui menerima lamaran keanggotaan dari parti komponen PH namun Idris dan rakan-rakannya masih belum membuat keputusan politik.
Bagaimanapun, belau menegaskan semangatnya untuk terus berjuang semakin membara selepas menjalinkan kerjasama dengan PH sejak hampir dua minggu lalu.
"Suasana dalam dewan tadi membuktikan mereka menerima saya. Apabila saya bangun dan mendapat sokongan macam itu, saya rasa saya dah mula berada dalam keluarga besar PH.
"Tak ada sebarang cemuhan, boo (jeritan) atau tuduhan (ke atas saya) sebagai pengkhianat, tiada di sebelah sini," katanya.
Idris berkata demikian sewaktu menghadiri perjumpaan anggota-anggota KEADILAN bersama Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam tadi.
Selain Idris, bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; bekas ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan turut hadir pada program terbabit.
Comments