Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani negeri Selangor yang diadakan di Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Seri Gombak malam tadi berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 35,000 pengunjung.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudi Shari menyifatkan kehadiran ramai itu sebagai terjemahan sokongan rakyat kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kehadiran ramai bersesak pada malam ini adalah tanda bukan hanya ingin menikmati makanan atau jamuan Aidilfitri tetapi tanda sokongan dan dokongan kepada Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh Anwar sebagai Perdana Menteri ketika ini.
"Malah sebentar tadi saya sempat beritahu Anwar di tapak inilah juga nostalgia kita warga Gombak membuat grand finale pada tahun 2008 yang mencetuskan perubahan besar di negeri Selangor ketika itu. Kita menang negeri ini.
"InshaAllah, kita akan kekalkan kemenangan 2008 itu pada PRN akan datang," katanya ketika berucap pada majlis itu diikuti tepukan gemuruh.
Majlis malam tadi yang turut diadakan bersekali dengan Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) anjuran Kerajaan Negeri menyediakan 29 gerai dengan lebih 42 juadah antaranya lemang daun lerek, ketupat, rendang, sate, kambing golek, aneka jenis kuih muih, buah-buahan dan pelbagai jenis air balang.
Pengunjung juga turut dihiburkan dengan persembahan artis terkenal Datuk M Nasir, Dayang Nurfaizah dan Pija Mentor.
Perdana Menteri dalam ucapannya turut melahirkan rasa teruja melihat lautan manusia membanjiri sambutan rumah terbuka yang diiringi dengan sorakan ‘reformasi’ dalam kalangan para penyokongnya itu.
"Alhamdulilah, setiap kali saya datang ke Gombak, semangat saya cukup tinggi kerana Gombak kekal sebagai medan kita (KEADILAN)," katanya.
Comments