top of page

300 peserta, NGO bantah AS guna veto tolak gencatan senjata di Gaza

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 15, 2023
  • 2 min read

ree

Oleh: Abdullah Zaid


Kira-kira 300 peserta terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam berkumpul menghadiri Perhimpunan Malaysia Bangkit Tolak Kuasa Veto AS, hari ini.


Perhimpunan di hadapan bangunan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) itu antara lain bagi membantah tindakan AS yang menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi gencatan senjata di Gaza, Palestin.


Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia, Syed Sheikh Al-Attas berkata, selain membantah keputusan AS, himpunan itu juga adalah untuk mengecam tindakan rejim Zionis yang terus mengganas dan membunuh lebih 17,000 orang awam Palestin yang tidak berdosa di Gaza.


"Tidak mungkin Israel mahukan kebaikan (gencatan senjata) biarlah hujan menjadi saksi seluruh suara orang yang tertindas.


"Saat ini, waktu kita berikrar, mereka sedang berjuang untuk anak-anak Palestin. Kita di sini dan negara Islam (lain) bersama rakyat Palestin," katanya ketika berucap berhampiran Kedutaan AS.


Perhimpunan yang dianjurkan Sekretariat Palestin Malaysia (SPM) bersama 20 NGO itu selepas selesai solat Jumaat diteruskan biarpun hujan lebat berlaku ketika mereka berarak ke bangunan Kedutaan AS.


Selain itu, Pengerusi Aliansi Masjid Sedunia dalam Pertahankan Al Aqsa (Manar), Datuk Seri Ahmad Awang menyeru agar rakyat Malaysia terus menunjukkan solidariti mereka ke atas rakyat Palestin.

ree
Datuk Seri Ahmad Awang

Tambahnya, dengan cara itu Malaysia akan dilihat sebagai negara paling lantang dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.


"Kita tunjukkan kepada dunia bahawa rakyat menolak keras kekejaman yang berlaku dan solidariti ini ditunjukkan tanpa mengira bangsa dan agama," ujarnya.


Pada 6 Disember lalu, AS menolak cadangan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) supaya gencatan senjata kemanusiaan diadakan segera antara Israel dan Palestin.


Cadangan draf resolusi ringkas itu dikemukakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan disokong 13 ahli lain.


Undian dibuat selepas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, memberi amaran secara rasmi kepada 15 anggota UNSC mengenai ancaman global akibat perang yang berlarutan selama dua bulan itu.


Sebanyak 153 undi menyokong draf resolusi ‘tidak mengikat’ diteruskan manakala, sepuluh negara termasuk AS dan Israel mengundi menentang resolusi tersebut sementara 23 negara termasuk United Kingdom (UK), Jerman, Itali dan Ukraine berkecuali.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page