
Pindaan undang undang di peringkat Persekutuan dicadangkan untuk mewajibkan parti parti yang bertanding dalam pilihanraya meletakkan 30% calon wanita.
Menurut Ahli Parlimen Ampang, hal itu selaras dengan amalan pilihanraya di negara maju yang mana parti politik tidak boleh meletakkan calon dalam sesuatu pilihanraya sekiranya tidak melepasi kuota 30% calon wanita.
"Kalau betul kerajaan Malaysia serius memberi komitmen jumlah 30% ini di semua peringat, saya mencadangkan di parlimen supaya mana mana parti politik yang tidak menghantar 30% calon wanita, patut parti politik itu ditolak pencalonannya. Itu pandangan saya mengambil kira negara luar dan maju telah mengenakan syarat ini.
"Jadi tidaklah nama (calon wanita) tiba tiba hilang (sebelum penamaan calon), ia jadi satu dasar. Namun ini memerlukan adanya undang undang dalam SPR (menetapkan calon wanita)," katanya kepada Suara Keadilan selepas majlis penyerahan sumbangan Back To School parlimen Ampang bersama Amanah Ikhtiar Malaysia, pagi tadi.
Bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Julai ini, Rodziah yang juga Exco Selangor memperjuangkan 30% kuota untuk calon wanita KEADILAN Selangor khususnya.
"Saya berbincang dengan pihak pimpinan Wanita Selangor untuk mereka bersiap sedia untuk berikan calon yang kita boleh ketengahkan.
"Harapan saya kali ini adalah untuk meletakkan 30% wanita bertanding, khususnya KEADILAN. Minimum 7 calon wanita akan dapat diketengahkan
"Tetapi dalam masa sama kita kena ingat Selangor sekarang sedia ada calon wanita 6 orang (mempertahankan kerusi).
"Kalau lihat PRU dulu bilangan wanita yang terlibat agak kurang, tetapi kali ini peringkat negeri pencapaian 30% akan jadi kenyataan. Lepas ini saya akan buat banyak kursus dengan calon wanita bagi mempersiapkan pasukan menghadapi PRN," katanya.
Ditanya bagaimana kerjasaam PH - BN di Selangor, Rodiah yang juga ADUN Batu Tiga berkata, Menteri Besar telah pun mengumumkan BN adalah sebahagian daripada pasukan Kerajaan Perpaduan dan pembahagian kerusi akan ditentukan oleh pimpinan.
"MB umum Umno sebahagian kerajaan dan kalu kita lihat mereka ada 5 kerusi, dan itu asas untuk kita berbincang. Kita serahkan kepada pimpinan untuk memuktamadkan berapa (kerusi) PH dan BN atau parti Muda dan sebagainya," katanya lagi.