Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad mengesahkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor meninggalkan parti itu dengan menyertai KEADILAN.
Bagaimanapun, Khalid berkata tindakan ketiga-tiga ADUN itu sudah dijangka dan menganggap ia tidak menjejaskan hubungan antara Amanah dan KEADILAN, malah mereka komited dengan perjuangan Pakatan Harapan (PH).
“Mungkin mereka merasakan KEADILAN akan bertanding lebih banyak kerusi, peluang mereka menjadi Ahli Parlimen lebih baik dalam KEADILAN berbanding Amanah.
“Ia jelas mengecewakan, tetapi kami tidak mengugut orang. Terpulang kepada kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap parti. Jika mereka merasakan boleh mendapat peluang lebih baik dalam parti lain, mereka bebas membuat keputusan sendiri.
“Selagi mereka tidak mengorbankan prinsip mereka untuk memperjuangkan keadilan dan semuanya. Maka, kami bersyukur," katanya.
Bagaimanapun Khalid berkata, tiga ADUN itu tidak dipecat parti, tetapi tindakan mereka menyertai KEADILAN bermakna keahlian Amanah ditamatkan secara automatik.
ADUN Senggarang, Khairuddin A Rahim, ADUN Serom, Faizul Amri Adnan dan ADUN Mahkota, Muhamad Said Jonit semalam membuat keputusan untuk menyertai KEADILAN.
Khairuddin berkata, permohonan keahlian KEADILAN sudah pun dihantar sejak Oktober tahun lalu dan beliau mengakui berbuat demikian kerana mahu diberi peluang bertanding di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
Opmerkingen