Oleh: Akmal Manaf
Keputusan kerajaan menyerap seramai 3,950 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) kepada status lantikan tetap, merupakan langkah penting dalam memastikan lebih ramai doktor terlatih dapat memberikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.
Pengarah Strategi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Bryan Ng Yih Miin berkata, keputusan itu antara lain mengurangkan kerugian kerajaan dalam kos latihan kedoktoran yang kadangkala menyaksikan golongan berkenaan meletakkan jawatan untuk bekerja di sektor swasta atau di luar negara.
"Saya berharap pihak Kerajaan MADANI juga meneliti aspek lain yang menyebabkan peletakan jawatan doktor seperti isu gaji, proses penempatan yang tidak tulus, suasana kerja yang kurang memuaskan dan kekurangan peluang untuk menjalani latihan berasaskan pakar.
"Bagaimanapun, komitmen kerajaan menyerap doktor kontrak adalah satu inisiatif yang amat bagus khususnya dalam menyelesaikan isu kekurangan doktor di negara ini dan peletakkan jawatan doktor terlatih," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kejayaan Kerajaan Perpaduan menyelesaikan isu doktor kontrak yang sudah berlanjutan sedekad lamanya.
Perkembangan positif dalam sektor perubatan itu menyaksikan seramai 3,950 kakitangan KKM diberikan lantikan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada 21 Oktober lalu.
Jumlah berkenaan membabitkan 3,200 pegawai perubatan, diikuti pegawai pergigian (350) dan pegawai farmasi (400) yang memohon lantikan kontrak (interim) di KKM
Menurut Bryan, berbanding tahun sebelum ini iaitu dari 2016 sehingga era pemerintahan Perikatan Nasional) pada 2021, hanya 4.2% atau 1,000 doktor kontrak ditawarkan untuk jawatan tetap.
Oleh yang demikian, Bryan menyifatkan kejayaan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu merupakan sesuatu yang penting bagi menggambarkan pentadbiran MADANI menghargai usaha pengamal perubatan yang berhempas pulas setiap hari memberi rawatan kepada rakyat.
Sebelum ini, doktor kontrak pernah mengadakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) pada 26 Julai 2021 era pemerintahan kerajaan PN bagi meminta kerajaan menyelesaikan masalah perkhidmatan mereka yang berstatus kontrak sejak 2016.
Opmerkingen