29 NGO Melayu Negeri Sembilan sokong Pakatan Harapan
- Suara Keadilan

- 2 days ago
- 1 min read

Sebanyak 29 NGO Melayu Negeri Sembilan hari ini menyatakan sokongan secara terbuka kepada Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) Negeri Sembilan esok.
Pengerusi Persatuan Khudus Negeri Sembilan, Ariffin Omar mewakili 29 NGO tersebut berkata, mereka menyokong calon PH sekaligus merayu pengundi-pengundi pada PRN-16 Negeri Sembilan esok untuk keluar beramai-ramai mengundi calon-calon Pakatan Harapan.
"Pendirian kami ini berasaskan kepada beberapa perkara.
"Pertamanya, pengamatan kami terhadap Kerajaan Pakatan Harapan sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri, setakat ini berjaya merealisasikan Maqasid Syariah.
"Hakikatnya ini dibuktikan dengan peningkatan hasil negeri yang sangat signifikan. Amal serta khidmat kebaktian kepada rakyat," kata Ariffin.
Menurut Ariffin lagi, menukar Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan bererti memadamkan obor Islah serta menghentikan roda reformasi yang sedang dipacu laju oleh Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Menukar Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan bererti merelakan negeri ini kembali ke zaman gerhana.
"Di zaman di mana kekayaan negeri ini hanya dimonopoli oleh segolongan kecil elit pemerintah dan kroni.
"Ketiganya, kami menyokong Pakatan Harapan dan merayu pengundi pada hari esok agar mengundi Pakatan Harapan berpandukan perintah Allah kepada keluarga Nabi Daud 'Lakukan lah amal yang baik wahai keluarga Daud sebagai tanda syukur kepada Allah.'
"Kami percaya amal soleh rakyat Negeri Sembilan dalam konteks politik pilihanraya esok, adalah memilih pemerintah yang besar khidmatnya kepada rakyat dan kukuh integritinya," jelas Ariffin.
Turut hadir, Pengerusi Sekretariat NGO Melayu Negeri Sembilan, Che Rus Husin dan Yang DiPertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sembilan, Fakrurazi Abdullah.




Comments