Parti Keadilan Rakyat merupakan satu satunya parti yang lahir di jalan raya namun berjaya menjadi pemerintah dalam sejarah Malaysia.
Menurut Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek, bukan sedikit cabaran dan tribulasi yang dialami oleh KEADILAN dan penggeraknya sepanjang 25 tahun lalu, sejak ditubuhkan pada 4 April 1999.
Katanya, kekebalan dan keampuhan KEADILAN dalam menghadapi cabaran itu bukan kerana fizikal ahlinya tetapi kekuatan spiritual dan tekad yang mahu melihat negara terbebas daripada cengkaman korupsi, kronisme dan nepotisme sejak pertama kali diisytiharkan oleh Bapa Reformasi, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Deklarasi Permatang Pauh pada 12 September 1998.
"Wadah ini bertahan bukan kerana kekuatan fizikal, bukan sebab kewangan, didokong oleh anggota di segenap peringkat.
"Figura, tokoh dan pejuang KEADILAN sangat sinonim dengan para penggerak perjuangan rakyat, dia yang berkorban segala-galanya demi perjuangan, dengan darah, keringat dan air mata," katanya dalam catatan di Facebook.
Hari ini, Jubli Perak KEADILAN, kata Fadhlina, parti keramat itu telah menjadi tonggak pemerintahan Malaysia di Putrajaya.
Bagi beliau, detik ini waktu terbaik untuk mengenang segala kepahitan dan keperihan perjuangan bagi memberi kesedaran dan semangat kepada pimpinan dan anggota untuk terus istiqamah menggenggam prinsip serta meneruskan perjuangan membela rakyat.
"Jika kita merasakan cukup untuk menimbal jasa dan bakti "as-sabiqun'al awwalun" (pejuang awal) KEADILAN setelah tahun kedua di Putrajaya, ia adalah satu hemat yang lengkara.
"Pengorbanan mereka tidak mungkin terbalas dengan apa pun, justeru hargai mereka sewajarnya dan sesungguhnya.
Semoga parti keramat ini kekal menzahir kebaikan dan memimpin perubahan untuk Malaysia.
"Sayap wanita akan kekal komited dalam melestari gerak daya berteraskan disiplin perjuangan yang jitu dalam mendokong agenda Malaysia Madani.
"Masanya telah tiba. Bersatulah untuk Reformasi," katanya.
Dirgahayu KEADILAN. Fadhlina mengharapkan parti akan terus kukuh dan utuh menggenggam perjuangan reformasi untuk dekad dekad akan datang.
Комментарии