Tiada siapa menyangka pesanan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada setiausahanya untuk meletakkan dalam jadual tarikh 23 Julai balik kampung ke Johor sebagai petanda perehatan abadi beliau di kampungnya.
Perkongsian Setiausaha Akhbar Salahuddin meyentuh hati penyokong dan rakyat yang mencintai peribadi dan jasa Salahuddin bahawa beliau seolah olah telah dibayangi detik pemergiannya.
"Letak dalam kalendar, 23 Julai balik kampung Johor".
Itu antara ayat Allahyarham yang dikongsi setiausaha akhbarnya, Syakirin Husnal dalam satu hantaran di Instagram.
Katanya Allahyarham amat bekerja keras menjaga harga bahan mentah dan makanan siap agar tidak naik harga sehingga satu hari, memintanya untuk mengosongkan tarikh 23 Julai kerana dia mahu pulang ke Serkat, Johor, kampung halamannya.
"Selepas jadual yang sangat padat tanpa henti, satu hari anda cakap…
"Letak dalam kalendar, 23/7 balik kampung Johor. Tak ramai yang memahami petanda itu.
"Anda mahu berehat. Anda perlu berehat. Sesungguhnya, memang betul, 23 Julai 2023, ‘Chief’ balik kampung berehat. Hanya kali ini, untuk kebaikan.
"Anda akan dikenang selamanya ‘Chief’," kata Syakirin dalam hantarannya.
Pada 21 Julai lalu, Salahuddin dikejarkan ke hospital dan Allahyarham kemudian disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor.
Allahyarham meninggal dunia pukul 9.23 malam, 23 Julai ketika dalam rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Jenazah Salahuddin disolatkan (gambar atas, solat jenazah) beberapa kali di Masjid Jamek Datuk Haji Noh Gadot kerana begitu ramai hadai, taulan, keluarga, penyokong dan rakyat biasa yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada beliau.
Comments