222 Pusat PRIME tawar khidmat untuk usahawan PMKS mulai Isnin
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Sebanyak 222 Pusat Rujukan Inklusif Usahawan MADANI (PRIME) akan mula beroperasi di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terpilih di seluruh negara mulai Isnin ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KESUMA), Steven Sim berkata, PRIME menjadi pusat sehenti bagi usahawan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), peniaga kecil serta penjaja mendapatkan maklumat, konsultasi perniagaan dan rujukan kepada program pembiayaan, latihan serta perkhidmatan agensi berkaitan.
"Melalui PRIME, usahawan boleh datang dan memaklumkan keperluan atau masalah perniagaan mereka.
"Pegawai PRIME akan memberikan panduan awal dan, sekiranya perlu, merujuk mereka kepada program atau agensi yang paling sesuai, sama ada di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kementerian lain atau agensi kerajaan berkaitan," katanya dipetik laporan media.
Beliau ditemui selepas melancarkan PRIME 2026 dan buku Aspirasi Membangun Usahawan MADANI 20 Tahun INSKEN di Pusat NADI Machang Bubok di Bukit Mertajam pada Sabtu.
Turut hadir pada acara itu ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) Datuk Mustaffa Kamil Ayub dan Timbalan Pengarah Pengurusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Eneng Faridah Iskandar.
Sebagai rekod, PRIME ialah inisiatif diterajui INSKEN dengan kerjasama strategik MCMC bagi menjadikan NADI sebagai pusat sehenti rujukan keusahawanan pada peringkat komuniti.
Menurut Sim, kesemua pegawai di 222 pusat NADI berkenaan telah menerima latihan intensif daripada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) bagi membolehkan mereka menjadi fasilitator kepada usahawan setempat.
"KUSKOP menyasarkan antara 30,000 hingga 50,000 usahawan di seluruh negara mendapatkan khidmat PRIME menjelang akhir tahun nanti dan menerusi projek kali pertama ini, kita cuba untuk menguar-uar perkhidmatan kepada usahawan di seluruh negara yang berpotensi mendapatkan perkhidmatan di setiap pusat NADI," tambahnya.




Comments