Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang berlaku semalam menjadi mercu tanda penting bagi demokrasi dan sistem pemerintahan Malaysia.
Bagi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelulusan itu lebih bermakna apabila 'katak' yang melompat menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020 pun turut sama menyokong sehingga kelulusan dicapai secara sebulat suara.
"Saya rasa lega, Alhamdulillah kerana Memorandum Persefahaman itu menetapkan mesti ada usaha meluluskan RUU anti lompat parti, atau istilah tepatnya anti-khianat, belot, menipu rakyat.
"Apa yang melucukan semalam kita dapat 209 undian termasuk Pakatan Harapan yang memang konsisten *menyokong). (Namun) orang yang bersekongkol dalam komplot khianat dan katak katak, orang yang dianggap melompat pun mengundi.
"Jadi satu perkara agak lucu tetapi menyenangkan," katanya dalam ucapan ringkas sebentar tadi.
Tegas Ahli Parlimen Port Dickson itu, kelulusan RUU berkenaan lebih kepada kemenangan rakyat yang bosan dengan sikap pembelotan Ahli Parlimen sehingga parti lain yang diundi, parti lain memerintah.
Selepas ini, katanya, rakyat akan mendapat sepanuhnya apa yang mereka undi untuk tempoh 5 tahun.
"Ini satu kemenangan kepada rakyat. Bila kita pilih, kita yakin inshaAllah tidak ada lagi belot kerana ugutan, takut dengan tindakan, wang ringgit atau dengan kedudukan. Alhamdulliah," katanya lagi.
Manakala menurut Ketua Penerangan KEADILAN, Fahmi Fadzil, 11 anggota dewan yang tidak hadir semalam adalah Tapah (lawatan kerja ke Indonesia); Bentong (Covid 19); Taiping (Covid 19); Mas Gading; Tambun (Komanwel - Birmingham); Kuala Pilah; Tumpat (berada di Makkah); Marang; Bukit Gantang; Lahad Datu dan Simpang Renggam (lawatan kerja ke Dublin)
RUU anti lompat parti akan diwartakan pada September ini dan semua Ahli Parlimen akan tertakluk kepada undang undang berkenaan.
Kommentare