top of page

2026: Negara di landasan betul, ringgit semakin kukuh - Fahmi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 days ago
  • 1 min read
ree

Menteri Komunikasi merangkap Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Fahmi Fadzil, mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh rakyat Malaysia dengan harapan agar negara terus berada di landasan yang betul dari segi ekonomi dan kesejahteraan rakyat.


Menurut beliau, tahun baharu seharusnya dimulakan dengan keyakinan bahawa ekonomi negara semakin sihat dan mata wang ringgit terus menunjukkan pengukuhan.


"Saya ingin mengucapkan selamat tahun baharu. Semoga tahun 2026 kita semua kekal cergas, negara berada di landasan yang betul, ringgit semakin kukuh dan ekonomi semakin sihat," katanya dalam satu siaran media.


Fahmi berkata, keadaan ekonomi yang lebih stabil akan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat untuk meningkatkan taraf hidup, bukan sahaja untuk diri sendiri dan keluarga, malah untuk pembangunan masyarakat dan negara secara keseluruhan.


"Kita mempunyai lebih banyak peluang sebagai rakyat untuk menceburi bidang-bidang yang boleh memajukan diri dan keluarga, masyarakat serta negara," ujarnya.


Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa agar lebih berhati-hati dan berwaspada terhadap taktik penipuan atau scam yang semakin canggih dan sentiasa berubah, khususnya yang menyasarkan golongan keluarga dan kanak-kanak.


"Sedikit peringatan kepada ibu bapa supaya berhati-hati dan awasi taktik scam yang baharu," katanya.


Beliau juga menasihatkan agar penggunaan peranti digital dalam kalangan kanak-kanak dikawal dengan lebih berhemah pada 2026.


Fahmi menekankan bahawa peranan ibu bapa dan keluarga amat penting dalam memastikan kesejahteraan anak-anak, selari dengan usaha kerajaan membina masyarakat yang seimbang, berdaya tahan dan berakhlak baik dalam era digital.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page