top of page

2026 dibayangi konflik: Kekejaman di Gaza lambang hipokrasi dunia – Raja Bahrin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 minutes ago
  • 2 min read
ree

Tahun Baharu 2026 disifatkan hadir dalam suasana suram dan membimbangkan apabila dunia terus dibelenggu konflik, peperangan dan ketidakadilan global yang semakin meruncing, kata Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Raja Kamarul Bahrin Shah.


Menurut beliau, kebanyakan masyarakat dunia tidak lagi mempunyai pandangan optimistik terhadap tahun 2026 berikutan pergolakan berpanjangan di Timur Tengah, Afrika, Eropah dan benua Amerika, termasuk peperangan di Ukraine serta pendirian ekonomi dan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang agresif dan kontroversi di peringkat global.


Bagaimanapun, katanya, konflik paling lama dan kejam pada masa ini tentulah penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin di Gaza, yang menyaksikan ketidakseimbangan ketenteraan antara tentera Israel yang disokong AS dan Barat, berdepan rakyat Palestin yang miskin dan tertindas.


"Sejarah pasti akan merekodkannya sebagai salah satu tragedi paling kejam yang menimpa mana-mana kumpulan etnik, sementara dunia memalingkan muka, pada zaman media global yang sangat terhubung menyalurkan imej kematian berterusan rakyat Palestin ke ruang tamu keluarga setiap malam," katanya dalam kenyataan hari ini.


Sehubungan itu, Raja Bahrin mengkritik sikap negara-negara Barat yang menurutnya hipokrit, apabila menyedari berlakunya pembunuhan beramai-ramai di Gaza, namun sekadar memberi janji kosong berkaitan pengiktirafan negara Palestin pada masa depan, sambil terus membekalkan senjata, bom dan sokongan kewangan kepada Israel.


"Tidak pernah hipokrasi dan sikap tidak peduli dunia moden begitu jelas dan tidak terampunkan seperti pada era paling terhubung ini," sinisnya.


Raja Kamarul Bahrin Shah
Raja Kamarul Bahrin Shah

Beliau mendakwa tragedi di Gaza juga dieksploitasi sebagai strategi pemasaran senjata, apabila visual dan rakaman serangan digunakan untuk mempromosikan senjata buatan Israel sebagai ‘terbukti berkesan di medan perang’.


Menurut beliau, walaupun beberapa negara Eropah mendakwa menyokong pembentukan negara Palestin, pembelian senjata buatan Israel oleh negara-negara Eropah meningkat sebanyak 13 peratus sejak 2024, mencecah nilai AS$15 bilion, menjadikan Eropah pembeli terbesar senjata Israel.


"Pakar senjata Israel dari Stuttgart, Shir Hever, menyatakan bahawa sejak 7 Oktober 2023, sebanyak 80,000 tan bom telah dijatuhkan ke atas Gaza, mengorbankan sekurang-kurangnya 70,000 rakyat Palestin," katanya.


Justeru, Raja Bahrin menyifatkan Gaza sebagai “makmal kematian sebenar” apabila nyawa manusia, termasuk kanak-kanak, digunakan untuk membuktikan keberkesanan senjata.


Dalam perkembangan lain, beliau turut menyuarakan kebimbangan apabila Israel mengharamkan 37 lagi pertubuhan sukarelawan daripada membekalkan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza, ketika wilayah itu berdepan musim sejuk dan hujan yang teruk.


"Saya sukar mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada rakan-rakan saya apabila saya tahu tahun 2026 adalah suram dan penuh kekejaman," katanya.


Beliau menegaskan bahawa tiada agama yang boleh merestui sikap tidak peduli terhadap pembunuhan beramai-ramai, sambil memberi amaran bahawa sikap berdiam diri terhadap kekejaman di Gaza menjadikan masyarakat dunia bersubahat dalam tragedi tersebut.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page